SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan jika dibuat perkiraan hanya tinggal sekitar lima bulan lagi. Ia mengambil kira jangkaan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini pada Mei ini.
Walaupun 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan ketika ini didominasi Pakatan Harapan (PH) iaitu sebanyak 20 kerusi dan 16 kerusi lagi milik Barisan Nasional (BN), cabaran satu lagi gabungan politik iaitu Perikatan Nasional (PN) tidak boleh diambil ringan dalam menuju ke PRN.
Memang berbanding di negeri-negeri lain, PN di Negeri Sembilan gagal menang walau satu kerusi pun pada PRU15 yang lalu. Namun berdasarkan jumlah undi yang diterima jika dikira mengikut DUN, PN dikatakan mendapat undi terbanyak di tiga kerusi iaitu Lenggeng di Parlimen Seremban, Labu di Parlimen Rasah dan Bagan Pinang di Parlimen Port Dickson.
DUN Lenggeng dan Labu dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) manakala Bagan Pinang dimenangi oleh BN.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha PN Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, gabungan parti itu mengambil maklum jumlah undi yang diterima di ketiga-tiga kerusi DUN tersebut dan sudah tentu ia menaikkan semangat PN untuk mencipta kemenangan pada PRN akan datang di Negeri Sembilan.
Katanya, ia ditambah dengan lapan kerusi DUN lain yang mana PN didapati memperoleh undi kedua terbanyak yang ada antaranya terletak di Parlimen Seremban dan Port Dickson.
“Nampaknya ada ruang yang baik untuk PN di Negeri Sembilan. Jika PRN dijalankan sekitar Mei hingga Julai ini dan sentimen rakyat dilihat ke arah PN, tidak mustahil PN menang lebih kerusi. Ia turut mengambil kira juga terdapat penyokong PH dan BN yang tidak bersetuju dengan kerjasama kedua-dua parti itu selepas PRU15.
“PN tetap bersedia bilapun PRN diadakan. Di Negeri Sembilan BN telah mentadbir begitu lama dan PH juga telah diberi peluang. Kali ini saya melihat jika rakyat boleh menilai situasi semasa, PN ada peluang untuk memimpin Negeri Sembilan,” katanya.
Berhubung persiapan dan persediaan PN untuk menghadapi PRN akan datang termasuk dalam soal calon, Mohd. Nazree berkata, ia adalah proses berterusan sehingga menuju tarikh pilihan raya tersebut.
“Ia proses berterusan. Mengenai calon, saya difahamkan dan seperti dimaklumkan oleh Pengerusi PN negeri, sudah tentu senarai itu nanti dibawa ke peringkat Pusat dan keputusan ditentukan oleh PN Pusat,” katanya. – UTUSAN










