Apa niat sebenar ‘sedekah’ PN? 

Apa niat sebenar ‘sedekah’ PN semasa PRU15? 

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu mempertikai niat sebenar ‘sedekah’ yang diberikan Perikatan Nasional (PN) kepada pengundi semasa dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ‘sedekah’ yang diberikan itu adalah di luar musim banjir dan persediaan ibu bapa untuk sesi persekolahan baharu.

Katanya, tempoh sebenar rakyat memerlukan bantuan ‘sedekah’ adalah sebelum sesi pembukaan sekolah pada Mac 2023 dan bukannya November 2022 sewaktu kempen PRU15.

“Waktu bantuan ‘sedekah’ juga diperlukan selepas banjir melanda Terengganu yang hanya berlaku pada pertengahan Disember dan bukan lebih awal pada awal November apabila ‘sedekah’ diberi secara meluas pada pengundi.

“Kalau pun ‘sedekah’ wang tersebut tidak salah dari sudut undang-undang dunia, bukankah ia salah secara sudut moral apakah lagi dari nilai murni Islam kerana ia tidak ubah adalah sogokan kepada pengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahan tindakan mengagihkan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 lalu dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan dan undang-undang telah menetapkan hanya calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, PH hairan kerana Pas turut terlibat dalam pengagihan wang semasa kempen itu sedangkan parti itu mendakwa mereka adalah pejuang Islam selama ini.

“Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar melalui kenyataan akhbar telah menyatakan perbuatan pemberian wang pada tempoh kempen PRU yang dilaporkan adalah satu ‘sogokan’ dan perbuatan ‘membeli undi’.

“Video-video pihak tertentu memberi wang kepada pengundi dengan janji ‘ikrar’ akan mengundi parti tertentu yang tersebar menguatkan lagi tuduhan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurut Ahmad, petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari itu dibuat kerana beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu ketika tempoh kempen PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya