Anwar sahkan lantik Nurul Izzah Penasihat Kanan, tidak dibayar elaun - Utusan Malaysia

Anwar sahkan lantik Nurul Izzah Penasihat Kanan, tidak dibayar elaun

ANWAR Ibrahim berucap pada perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perdana Menteri mengesahkan anaknya, Nurul Izzah dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan beliau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mempelawa anaknya itu untuk jawatan tersebut bagi membantunya di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, begitupun beliau tidak membayar apa-apa elaun kepada Nurul Izzah untuk tugasnya bagi jawatan tersebut.

“Memang saya minta dia, pelawa dia untuk membantu saya sebagai Penasihat di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia, baik di Pejabat Perdana Menteri dan di Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Perasmian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru di sini hari ini.

Mengulas mengenai pihak yang mempertikaikan lantikan itu kerana Nurul Izzah hanya mempunyai kelulusan berkaitan kejuruteraan dan bukannya dalam bidang kewangan, Anwar berkata, pihak yang mempertikaikan kelayakan akademik Nurul Izzah itu mungkin tidak teliti.

Menurutnya, beliau sendiri tidak mempunyai kelulusan dalam bidang kewangan tetapi menjadi pernah menteri kewangan selama lapan tahun.

“Apakah seorang menteri kesihatan mesti seorang doktor? Ataupun seorang menteri air mesti seorang engineer, tak pernah berlaku macam itu,” katanya.

Ditanya mengenai ciapan di Twitter bekas Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang seolah-olah menyindir pelantikan itu, Anwar berkata, adalah hak Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu untuk bertanyakan mengenai perkara itu.

“Tetapi saya nak bagi tahu yang penting sekali termasuk saudara Peja, hentikan curi tanah dan balak dan saham komisyen projek, ini yang menjahanamkan negara.

“Saya belum dengar lagi kenyataan mereka menyokong usaha membersihkan negara daripada gejala ini. Semua bicara soal rasuah, tapi bila kita sebut kes-kes ini, dia kata mengapa nak bongkar kisah lama,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah mengesahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang juga ayahnya, Anwar.

Beliau mengesahkan perkara tersebut dalam temubual eksklusif dengan sebuah akhbar tempatan.

Nurul Izzah berkata, beliau memulakan khidmatnya berkuatkuasa 3 Januari lalu.

Beliau harap melalui pengalamannya sebagai seorang Ahli Parlimen yang terlibat dalam pelbagai bidang ketika berkhidmat sejak empat dekad lalu mampu memberi manfaat dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar polisi negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.