Anwar punyai aura, lantikan beri rangsangan kepada ekonomi

Anwar punyai aura, lantikan beri rangsangan kepada ekonomi

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun masih terlalu awal untuk membuat penilaian terperinci prestasi ekonomi negara sejak kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan, aura beliau sebagai Perdana Menteri sangat positif, seterusnya memberi rangsangan dan semangat baharu kepada ekonomi negara.

Selepas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kembali melepasi paras 1,500 mata apabila ditutup pada 1,501.88 mata, naik 58.38 mata atau 4.04 peratus.

Ia adalah paras tertinggi yang dicatatkan petunjuk pasaran FBM KLCI pada penutup sejak 30 Ogos 2022 iaitu 1,512.05 mata.

Ringgit juga lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila didagangkan pada 4.5200/5250 pada hari lantikan sehingga lebih baik kini pada 4.3720/3780.

Mengulas perkembangan itu, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelantikan Anwar secara tidak langsung memberi semangat baharu kepada pengguna isi rumah, penganalisis, serta daya penarik pelabur tempatan dan pelabur asing.

Ujarnya, semua pihak juga mempunyai harapan tinggi terhadap kerajaan baharu dalam mentadbir negara sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan.

“Selepas pengumuman Perdana Menteri baharu, mata wang tempatan mengukuh sebelum merosot sedikit namun masih lebih baik berbanding sewaktu kerajaan terdahulu.

“Begitu juga dengan prestasi Bursa Malaysia yang terus meningkat melebihi 1,500 mata sebelum merosot dan kini masih dalam keadaan yang agak stabil.

“Ini kerana, harga saham tidak meningkat terlalu banyak berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) yang masih tinggi membuatkan pelabur asing kurang berminat untuk memasuki negara dan ini akan berterusan sehingga empat ke lima bulan akan datang sebelum pasaran saham menjadi lebih segar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, negara menerima banyak cadangan pelaburan dan komitmen daripada pelabur asing dan tempatan namun jumlah kemasukannya masih belum jelas.

“Apa yang penting, komitmen itu ada, bermakna pelabur masih berminat untuk memasuki projek dan melihat wujudnya potensi jangka pertengahan dan jangka panjang di bawah pentadbiran baharu,” ujarnya.

Barjoyai menjangkakan, menjelang separuh pertama 2023, negara akan melihat beberapa indikasi positif termasuk kadar pertukaran dan prestasi saham yang lebih baik, kadar eksport meningkat manakala inflasi pula menurun.

“Sekarang ini kita dapat lihat Perdana Menteri sangat agresif mengenal pasti kelemahan di setiap kementerian, namun nampaknya sambutan daripada menteri dan perkhidmatan awam agak perlahan, seolah-olah ada sesuatu yang menjadi penghalang,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sejak kerajaan baharu pimpinan Anwar ditubuhkan dalam tempoh kurang dua bulan ini, pelbagai impetus positif kepada ekonomi negara dapat dikesan walaupun persekitaran ekonomi dunia tidak begitu memberangsangkan.

Ujarnya, antara yang paling jelas adalah nilai ringgit yang pernah merosot sehingga RM4.75 pada November iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, kini berada pada paras kestabilan antara RM4.37 ke RM4.00.

“Simpanan Bank Negara Malaysia (BNM) juga terus mengukuh kepada AS$114.6 bilion di akhir Disember 2022 daripada paras AS$104.5 bilion pada Oktober 2022 manakala perdagangan negara berada pada situasi yang sihat iaitu lebihan AS$7.4 bilion melebihi unjuran awal oleh JP Morgan iaitu AS$5.3 billion.

“Ini jelas membuktikan posisi politik Malaysia yang lebih stabil memberikan impetus diperlukan oleh ekonomi negara untuk bersiap sedia bagi menghadapi kemelesetan ekonomi dunia tahun ini.

“Tidak dinafikan, prestasi Bursa Malaysia tidak banyak berubah kecuali melebihi paras terendah di bawah indeks 1,400 mata yang pernah dicatatkan sebelum PRU15, kini ia berada di paras yang sesuai untuk meningkat semula di atas 1,400 mata namun dibayangi oleh pasaran modal dunia yg bergolak disebabkan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×