Anwar enggan ulas 'isu sedekah' Abdul Hadi, tumpu perayaan

Anwar enggan ulas ‘isu sedekah’ Abdul Hadi, tumpu perayaan

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama tetamu yang hadir majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina, anjuran MCA di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertahan pengagihan wang segelintir individu kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai satu sedekah.

Perdana Menteri mahu menumpukan kepada sambutan perayaan Tahun Baharu Cina berbanding mengulas isu berkenaan.

“Saya mahu tumpu Hari Raya Cina,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya berhubung dakwaan Abdul Hadi itu selepas menghadiri majlis rumah terbuka sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mempertahan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon Pas.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menzahirkan perasaan gembira apabila dapat hadir semula ke Wisma MCA selepas 25 tahun.

Beliau berkata, walaupun perbezaan parti dan pandangan dari semasa ke semasa, MCA sebagai satu rakan politik lama tidak pernah putus persahabatan.

“Terima kasih kepada MCA khususnya Presiden, Datuk Seri Wee Ka Siong kerana menjemput saya dan Azizah ( Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).

“Dalam penjara tak sempat datang jadi sekarang ini ada ruang dan nampak bukan sahaja kemesraan, tetapi satu haluan dalam banyak pandangan dan isu.

“Saya juga banyak berbincang dengan Presiden MCA dan nampak (perbincangan) kita tumpu pembangunan dan ekonomi Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya