Antara Hajiji, Bung Moktar, Mohd. Shafie, siapa pilihan TYT Sabah?

Antara Hajiji, Bung Moktar, Mohd. Shafie, siapa pilihan TYT Sabah?

Hajiji Noor bersama wakil rakyat Sabah dalam satu perjumpaan di Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Kota Kinabalu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bidang kuasa menentukan siapa antara tiga pemimpin utama di Sabah yang mempunyai sokongan majoriti kini terletak di tangan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dikatakan masih mempunyai sokongan majoriti untuk terus kekal memerintah selain pemimpin UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Ketika ini, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mempunyai 29 kerusi mendapat sokongan 15 lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain termasuk lima ADUN UMNO, tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH), Datuk Masiung Banah (Bebas-Kuamut); Rina Jainal (Harapan Rakyat-Kukusan) dan Dr. Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik).

Sementara itu, ADUN Barisan Nasional (BN) yang menyokong Bung Moktar seramai 13 ADUN manakala 19 lagi adalah ADUN Warisan.

Berdasarkan pergerakan di Istana Seri Kinabalu atau Istana Negeri semalam, hanya Hajiji Noor dan Mohd. Shafie yang telah mengadakan pertemuan dengan Tun Juhar.

Namun, sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Pejabat Ketua Menteri mengenai perjumpaan selama sejam antara Hajiji dan Tun Juhar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Ramli Dollah berkata, GRS masih mampu mengekalkan kuasa dengan sokongan yang ada.

Namun sekiranya GRS gagal mendapatkan sokongan maka parti lain bakal mendapat kuasa.

Jika keadaan itu berlaku, Bung Moktar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah mahupun Mohd. Shafie merupakan individu yang berpotensi menjadi Ketua Menteri sekiranya berlaku pakatan dalam kedua-dua parti berkenaan bersama ADUN Sabah yang lain.

“Namun pada saya, sekiranya ini berlaku, kerajaan yang bakal dibentuk kurang stabil. Jadi, saya percaya proses perubahan kerajaan akan berulang kerana tiada parti yang dominan di Sabah.

“Pergolakan ini pastinya merugikan rakyat dan negeri sabah sendiri,” katanya.

Walaupun Pilihan Raya Negeri (PRN) mungkin sesuatu yang tidak diingini, beliau melihat itu mungkin pilihan terakhir dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Dr. Romzi Ationg berkata, tidak akan ada pertukaran Ketua Menteri tanpa pembubaran Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Rasanya Hajiji tidak akan meletak jawatan dengan begitu mudah. Jika benar pihak lawan iaitu BN mahupun Warisan mempunyai sokongan yang mencukupi, saya fikir pembubaran DUN adalah pilihan yang tepat,” katanya.

Walaupun sebagai parti tunggal dan Warisan mempunyai kerusi terbanyak iaitu 19 kerusi, namun itu bukan jaminan Warisan akan mengetuai kerajaan. Keadaan ini sama seperti senario politik yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak masih perlu mendapat sokongan parti lain bagi mencapai majoriti untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×