KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) dan ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilihat hadir dalam pertemuan bersama Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya petang ini.
Perjumpaan yang diadakan itu dipercayai berkaitan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, pertemuan ini bukan hanya berkaitan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) khas yang akan diadakan pada Selasa tetapi juga, berkaitan perkembangan politik semasa.
“Ini adalah perkara biasa untuk mengadakan mesyuarat sebelum persidangan DUN. Tapi, sudah tentu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor akan memberi taklimat mengenai perkembangan politik semasa,” katanya.
Malah, beliau berkata, bukan lagi satu rahsia bahawa pihak kerajaan kini mempunyai sokongan 44 daripada 79 ADUN Sabah.
Pada masa ini, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai 29 kerusi dan mendapat sokongan 15 lagi ADUN termasuk lima ADUN UMNO, tujuh ADUN PH, Datuk Masiung Banah (Bebas-Kuamut); Rina Jainal (Harapan Rakyat-Kukusan) dan ADUN Pas, Dr Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik).
ADUN Barisan Nasional (BN) yang menyokong Bung Moktar seramai 13 ADUN sementara itu, 19 lagi adalah ADUN Parti Warisan (Warisan). – UTUSAN










