5,427 mangsa banjir dipindahkan di Johor

5,427 mangsa banjir dipindahkan di Johor

KEADAAN banjir rumah keluarga Rahibah yang dinaiki air banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 5,427 penduduk daripada 1,500 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir yang melanda negeri ini semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, kesemua mangsa banjir ini ditempatkan di 56 PPS di tujuh buah daerah terjejas iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat.

Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 5,528 mangsa yang ditempatkan di 58 pusat pemindahan sementara (PPS) pada 12 tengah hari tadi.

“Jumlah mangsa banjir di Segamat berkurangan daripada 1,811 mangsa melibatkan 808 keluarga kepada 1,763 mangsa membabitkan 498 keluarga di 21 PPS di daerah itu. Setakat pukul 2 petang ini, sebuah PPS di Balai Raya Kampung Sungai Lenek ditutup.

“Jumlah mangsa banjir di Kluang juga turun daripada 1,266 mangsa membabitkan 356 keluarga kepada 1,176 mangsa yang terdiri daripada 323 keluarga. Terdapat empat PPS di Kluang ditutup sebentar tadi melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Ping Ming, Balai Raya Batu 6 Kampung Sri Lalang, Balai Raya Kampung GSA Chamek dan Balai Raya Kampung Muhibbah Paloh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir Mersing tidak mencatatkan perubahan dengan seramai 1,173 mangsa daripada 359 keluarga ditempatkan di 10 PPS, begitu juga bilangan mangsa banjir di Pontian kekal dengan 18 penduduk daripada empat keluarga, manakala di Batu Pahat dengan 299 penduduk daripada 79 keluarga dan Muar dengan 217 penduduk daripada 47 keluarga.

“Bilangan mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat daripada 744 mangsa daripada 183 keluarga kepada 782 mangsa daripada 190 keluarga.

“Ini menyebabkan ada pertambahan sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Telur pada pukul 1.30 petang tadi dengan bilangan mangsa yang sedang dikemas kini,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan dua daerah di negeri ini di bawah amaran hujan berterusan tahap bahaya iaitu Mersing dan Kota Tinggi.-

 

Pusat pemindahan jadi rumah kedua

RAHIBAH YAHAYA dan anak-anaknya yang berpindah ke PPS apabila kediaman mereka di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, Johor dinaiki air banjir.

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir  mengakui sudah terlalu penat asyik berpindah randah ke PPS akibat banjir. Mungkin pepatah ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul ‘ sesuai untuk menggambarkan keadaanya yang juga mangsa banjir di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat apabila terpaksa berpindah dan ‘berulang-alik’ ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak November lalu.

Menurut mangsa berkenaan , Rahibah Yahaya, 31, keluarganya sudah berpindah ke PPS sebanyak tiga kali sejak November, Disember dan terbaru kelmarin apabila paras air meningkat secara mendadak.
“Tiga bulan berturut-turut ini saya ulang-alik ke PPS mengangkut barang-barang yang boleh diselamatkan seperti kain baju November lepas 28 hari kami di PPS dan Disember pula 17 hari. Sudah cukup 45 hari menumpang di sini.

“Kelmarin kami baru pindah ke sini (PPS) dan sudah dua hari, tidak tahu berapa hari lagi kali ini kami terpaksa duduk di PPS. Mungkin dua minggu paling kurang dan kalau ditanya penat atau tidak, semestinya sangat memenatkan. Kami terpaksa mengangkut barang ke sana sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPS Balai Raya Batu Badak, semalam.

Suri rumah dan ibu kepada empat cahaya mata ini memaklumkan, bulan ini genap setahun rumahnya ditenggelami air banjir yang turut berlaku Januari tahun lalu.

“Tahun lepas tinggal nampak bumbung rumah sahaja tenggelam dalam banjir dan baju sekolah anak hanya sehelai sempat diselamatkan. Walaupun tidak dapat selamatkan semua barangan rumah kali ini, kami tetap bersyukur sempat berpindah dan kami sekeluarga selamat,” kongsinya dalam nada sebak.

Seorang lagi mangsa banjir yang hanya mahu dikenali sebagai Zaiton berharap berkenaan dapat menyumbangkan lebih banyak lampin pakai buang bagi keperluan anak-anak kecil di PPS.
“Kalau di rumah, anak-anak kami ada dilatih pergi ke bilik air sendirian pada waktu malam. Apabila tinggal di PPS dalam jangka masa yang lama, kami risau mahu melepaskan mereka pergi bersendirian ke bilik air terutama sekali pada malam hari. UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya