5 lelaki warga asing ditahan bergaduh ketika mabuk - Utusan Malaysia

5 lelaki warga asing ditahan bergaduh ketika mabuk

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain menunjukkan suspek-suspek warga asing yang ditahan kerana terlibat dalam pergaduhan di Sungai Nibong dan Taman Chai Leng Park, Pulau Pinang, semalam dan kelmarin dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perbuatan lima lelaki warga asing yang bergaduh dalam dua kejadian berasingan di Sungai Nibong, Bayan Baru di sini dan Taman Chai Leng Park, Perai mengundang padah apabila mereka ditahan polis semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kejadian pertama berlaku kelmarin, pukul 9.50 malam melibatkan dua lelaki warga asing di sebuah rumah flat di Sungai Pinang, di sini.

Katanya, polis menerima aduan berlaku pergaduhan di rumah flat berkenaan melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 24 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah medan selera di Bayan Baru di sini.

”Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kening akibat dipukul oleh rakan serumahnya dengan botol,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, susulan kejadian itu, polis menahan seorang suspek lelaki warga asing berusia 32 tahun kira-kira pukul 12.50 pagi semalam.

”Punca kejadian dipercayai akibat mangsa dan suspek sedang minum bersama sehingga mabuk dan berlaku perselisihan faham antara mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, empat lelaki warga asing berusia lingkungan 23 hingga 27 tahun ditahan selepas bergaduh di sebuah rumah di Taman Chai Leng Park, pukul 3.25 pagi, semalam.

“Dua daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan akibat terkena objek tajam ketika pergaduhan tersebut manakala dua lagi tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan mendapati, sebelum kejadian kesemua suspek sedang minum arak bersama sehingga mabuk dan berlaku perselisihan faham antara mereka,” katanya.

Tambahnya, suspek yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Ujar beliau, polis turut merampas sebilah pisau lipat sepanjang 15 sentimeter (cm) yang disyaki digunakan ketika kejadian dan kesemua warga asing tersebut direman empat hari sehingga 25 Januari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya