32,000 liter diesel, 183,400 minyak hitam dirampas - Utusan Malaysia

32,000 liter diesel, 183,400 minyak hitam dirampas

Diesel
AHMAD Ridhwan Mohd. Nor @Salleh dalam sidang akhbar di IPD Kuala Langat di Kuala Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Polis merampas 32,000 liter diesel dan 183,400 liter minyak hitam bernilai kira-kira RM233,050 apabila menyerbu sebuah gudang tempat simpan serta memindah bahan bersubsidi itu secara haram di Kampung Sungai Jarom, di sini pada Isnin lalu.

Selain rampasan, polis turut menahan empat suspek lelaki terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga India yang merupakan pekerja di gudang berkenaan ketika sedang memindahkan minyak diesel dari lori ke dalam tangki di gudang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, serbuan pada jam 10.30 malam itu dijalankan sepasukan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB), Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dalam Operasi (Op) Taring.

“Polis menahan suspek berusia 20-an hingga 30-an. Selain diesel dan minyak hitam, polis turut merampas dua lori 30 tan, sebuah tangki lori, lima lori lima tan yang diubah suai dan 100 buah tangki pukal sederhana (IBC) dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM8.5 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.

Beliau menambah, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak di sekitar Lembah Klang dan Kuala Langat menggunakan lori tiga tan diubah suai dengan tangki khas yang memuatkan 6,000 liter diesel.

“Apabila tangki khas penuh, kesemua diesel dipindahkan ke dalam tangki lain di gudang sebelum dijual kepada industri. Ini bermakna pihak industri akan membeli diesel pada harga murah berbanding harga untuk mereka.

“Aktiviti sindiket ini dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu,” jelasnya.

Kata Ahmad Ridhwan lagi, kesemua suspek di siasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 34(B) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing terbabit.

Beliau memberitahu, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya