23 ladang, 53,275 ekor babi di Pulau Pinang positif ASF - Utusan Malaysia

23 ladang, 53,275 ekor babi di Pulau Pinang positif ASF

CHOW Kon Yeow mendengar penerangan daripada pegawai JPV ketika meninjau Pusat Operasi ASF di Valdor, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

NIBONG TEBAL: Situasi penyakit demam babi Afrika (ASF) di Pulau Pinang semakin meruncing selepas 23 ladang babi komersial membabitkan 53,275 ekor babi dikesan positif ASF setakat hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini, jumlah pecahan ladang yang dijangkiti ASF ialah 17 ladang di Seberang Perai Selatan (SPS) melibatkan 42,691 ekor babi; dua ladang di Seberang Perai Tengah (SPT) dengan populasi babi sebanyak 2,742 ekor dan di Seberang Perai Utara (SPU) melibatkan empat ladang dengan populasi babi 7,842 ekor.

”Sehingga semalam, sebanyak 7,998 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang positif ASF di SPS dan SPT dengan kerja-kerja pemusnahan masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit.

”Bangkai babi yang di lupuskan ditanam di satu kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan bagi memastikan tidak berlaku gangguan kepada orang awam,” katanya selepas meninjau Pusat Operasi ASF di Valdor, di sini hari ini.

Pada 13 Januari lalu, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF di negeri itu sebagai “bencana” selepas kes dilaporkan di 11 ladang babi komersial di daerah SPS dan SPT melibatkan 25,000 ekor babi.

Menurut Kon Yeow, berdasarkan bancian tahun lalu, terdapat sebanyak 124 ladang babi di empat daerah di Pulau Pinang dengan populasi keseluruhan sebanyak 267,348 ekor.

”Sehingga kini, masih terdapat 101 ladang babi yang belum dijangkiti penyakit ASF dengan populasi sekitar 214,073 ekor iaitu 35 ladang di SPS dengan jumlah 97,104 ekor; 60 ladang di SPU (100,600 ekor); dua ladang di SPT (5,539 ekor) dan empat ladang di Barat Daya (10,830 ekor),” katanya.

Tambahnya, bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang positif atau disyaki terjangkit dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) bagi penyakit ASF.

Dalam pada itu, katanya, orang awam dinasihatkan tidak berasa cemas dengan kejadian penyakit ASF kerana bukan penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan.

”Namun, penyakit berkaitan merupakan penyakit yang berkepentingan ekonomi, sangat cepat merebak dan boleh menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua dua hingga 10 hari kepada ternakan babi yang dijangkiti.

”Sekali lagi diingatkan kepada penternak dan orang awam supaya segera melaporkan sebarang kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah (JPVD) terdekat atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau menerusi Hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit JPVPP di talian 04-5041047,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.