21 ladang babi di Pulau Pinang dikesan dijangkiti ASF - Utusan Malaysia

21 ladang babi di Pulau Pinang dikesan dijangkiti ASF

CHOW Kon Yeow mendengar penerangan mengenai situasi penyakit demam babi Afrika yang melanda ladang-ladang babi komersil di Pulau Pinang daripada kakitangan JPV baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Penyakit demam babi Afrika (ASF) di Pulau Pinang semakin merebak dengan 21 ladang babi komersil di negeri itu kini dikesan positif penyakit berkenaan setakat semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kesemua ladang yang dikesan positif penyakit ASF itu terletak di tiga daerah iaitu Seberang Perai Tengah (SPT); Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

”Setakat semalam, secara keseluruhannya sebanyak 21 ladang babi disahkan positif penyakit ASF dan lokasi ladang adalah di SPU, SPT dan SPS.

”Virus ini cepat merebak dan disebabkan itu banyak ladang dijangkiti penyakit ASF.

“Setakat ini jumlah babi yang telah dilupuskan adalah kira-kira 4,000 ekor dan kita sedang meneruskan usaha memusnahkan babi-babi yang telah dijangkiti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pada 13 Januari lalu, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF di negeri itu sebagai ‘bencana’ selepas kes dilaporkan di 11 ladang babi komersial di daerah SPS dan SPT melibatkan 25,000 ekor babi.

Pemusnahan babi yang dijangkiti terpaksa dilakukan menggunakan gas karbon dioksida dan mengikut Kod Amalan Kebajikan Haiwan dan garis panduan Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum bangkai dikebumikan.

Berdasarkan data bancian Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, terdapat 124 ladang ternakan babi di Pulau Pinang membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi.

Menurut Kon Yeow, pemilik ladang babi yang terjejas perlu segera melaporkan perkara itu kepada JPV bagi urusan pembayaran pampasan dan pelupusan babi yang terkesan dengan penyakit ASF.

”Pemilik ladang perlu tampil dan bekerjasama dengan JPV untuk urusan pampasan, mereka mesti mengira jumlah babi di ladang masing-masing yang dimusnahkan.

“Mereka mesti sahkan bilangan babi yang terlibat dengan JPV dan mulakan pelupusan, kemudian boleh kemukakan tuntutan pampasan kepada JPV,” katanya.

Tambah beliau, adalah menjadi kewajipan untuk pemilik ladang memaklumkan kepada JPV sekiranya ladang babi mereka dikesan positif penyakit ASF. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.