2 'tokan' diberkas bersama pelbagai dadah bernilai RM104,879 - Utusan Malaysia

2 ‘tokan’ diberkas bersama pelbagai dadah bernilai RM104,879

MOHD. RADZI Ahmad (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas daripada satu sindiket yang ditumpaskan polis dalam sidang akhbar di IPD SPU, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Dua lelaki termasuk seorang penghantar makanan yang disyaki ‘tokan’ dadah diberkas dalam serbuan di sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Butterworth, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, dalam serbuan pukul 5.30 petang itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM104,879 yang disimpan di dalam sebuah kereta di belakang restoran berkenaan.

Beliau berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 dan 25 tahun itu dipercayai sedang menunggu pembeli untuk mendapatkan bekalan dadah yang dijual mereka.

“Hasil pemeriksaan kemudian menjumpai sebanyak 88 bungkus dadah heroin seberat 4,995 gram bernilai RM66,933 di dalam kereta terbabit.

“Turut ditemukan ialah satu bungkusan ganja seberat 1,009 gram dan 984 gram dadah jenis syabu yang masing-masing bernilai RM2,522 dan RM35,424,” katanya dalam sidang akhbar, di ibu pejabat polis daerah (IPD) SPU, di sini hari ini.

Selain dadah, kata Mohd. Radzi, polis turut merampas sebuah kereta Toyota Vios bernilai RM90,000 yang digunakan suspek yang dipercayai kenderaan curi susulan satu laporan kehilangan kenderaan yang dilaporkan di Johor kira-kira tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah itu sejak bulan lalu dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek turut direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

“Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk untuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah tersebut termasuk pembekal yang dipercayai tinggal di bahagian pulau (George Town),” katanya.

Tambah beliau, kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 34,940 penagih jikaterlepas ke pasaran.

Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 2,983 individu ditangkap di daerah SPU sepanjang tahun lepas kerana terlibat dengan kes berkaitan dadah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,628 kertas siasatan telah dibuka membabitkan 446 kes berkaitan bekalan dadah (613 tangkapan) dan 1,208 kes memiliki dadah (1,373 tangkapan),” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya