1MDB: Wang berjumlah RM21.7 juta dipulangkan kepada 11 entiti, individu

1MDB: Wang berjumlah RM21.7 juta dipulangkan kepada 11 entiti, individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah RM21.7 juta yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan disita daripada 11 entiti termasuk parti-parti politik akan dipulangkan semula kepada pihak yang terlibat.

Ia selepas pihak pendakwaan menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan mereka untuk menyita dan melucut hak aset tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar turut memaklumkan kepada panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian, bahawa notis penarikan balik tersebut telah difailkan pada Jumaat lalu.

Entiti-entiti yang akan memperoleh kembali wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berjumlah RM21,771,626.87 ialah Jakel Trading Sdn. Bhd. (RM10,747,042.77), Mediaedge CIA Sdn. Bhd. (RM4,631,602), AGA Touch Sdn. Bhd. (RM3 juta) dan Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) (RM100,000),

Selain itu, turut menerima kembali wang yang disita ialah Barisan Nasional Johor (RM957,395.65), Umno Pekan (RM700,000), Umno Johor (RM677,872.55), Jakel Trading (RM628,314), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (RM188,132.26), bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam(RM100,000) dan pengarah firma penyelidikan Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, Sim Sai Hoon (RM41,261.64).

Sementara itu, tiga lagi permohonan rayuan oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah, Badan Perhubungan MCA Pahang serta keluarga bekas Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Umno Bahagian Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail. masih lagi berterusan.

Bagaimanapun, Kamal Baharin memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam bagi ketiga-tiga entiti terbabit boleh menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan permohonan SPRM untuk melucut hak wang milik PBRS (RM1,000,000), Badan Perhubungan MCA Pahang (RM835,258.19) dan keluarga Allahyarham Abdul Manan (RM265,146.16) yang kesemuanya berjumlah RM2.1 juta.

Pengurusan kes bagi ketiga-tiga entiti itu ditetapkan pada 28 Mac ini.

Pada Jun 2019, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya memberitahu pihak berkuasa itu telah memfailkan permohonan lucut harta terhadap 41 responden yang dikatakan menerima wang daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan hasil penyelewengan dana syarikat 1MDB.

Permohonan sitaan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya