14 individu termasuk subkontraktor dituduh curi, hapus kabel TM - Utusan Malaysia

14 individu termasuk subkontraktor dituduh curi, hapus kabel TM

SERAMAI 14 individu dihadapkan di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mencuri dan menghapuskan kabel milik Telekom Malaysia (TM) awal bulan ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai 14 individu mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri dan menghapuskan kabel milik Telekom Malaysia (TM) awal bulan ini.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.

Bagi pertuduhan pertama, 11 tertuduh iaitu Mohd. Danial Mohd. Nasib, 42; Mohd. Helmie Iswandi Ismail, 40; Muhamad Faiz Yahaya, 31; Mohd. Hishammudin Mohd.Razak, 45; Muhammad Farhan Ridzuan, 31; Muhammad Zulfaqar Ismail, 31; Syed Hasnisham Syed Hassan,37; Abdul Wafi Fazil,38; Muhamad Ridzuan Jamaludi,36; Ahmad Finhas Fazil, 40, dan Muhammad Nasrul Mohamas Rashidey, 30, didakwa telah mencuri kabel milik Telekom Malaysia pukul 5 pagi 10 Januari lalu, di persimpangan lampu isyarat Tanjung Bunga dekat sini.

Pertuduhan mereka dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang kemudian boleh dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan kedua pula, 11 tertuduh yang sama termasuk tiga lagi tertuduh iaitu Sande Baijuri Abd. Rahman, 40; Ahmad Zulaswad Ismail, 36, dan Muhamad Fauzal Roselan, 27, didakwa dengan sengaja menolong menghapuskan harta curi iaitu kabel milik TM.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 5 dan 7 Januari lalu, kira-kira pukul 6.30 pagi di Kampung Matang Gedong, Sungai Petani, Kedah.

Kesemua tertuduh yang antaranya bekerja sebagai subkontraktor, pengawal keselamatan, penternak ikan, penjual vape, kerani dan lain-lain didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd. Azuyar manakala tertuduh diwakili peguam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Naqieya Zulkernain.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh-tertuduh diberi jaminan sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama manakala jaminan bagi pertuduhan kedua ditetapkan RM1,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain menerusi sidang akhbar berkata, seorang subkontraktor Telekom Malaysia (TM) antara yang ditahan polis kerana terbabit kegiatan curi kabel milik syarikat telekomunikasi itu di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan kerugian keseluruhan RM910,448.

Kegiatan kumpulan itu terbongkar susulan penahanan 11 lelaki tempatan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah, di sini, pukul 2.40 pagi pada 10 Januari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya