PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.
Istana Negara memaklumkan, sesi mesyuarat Pra-Kabinet itu berlangsung selama 45 minit yang bermula pada pukul 4.15 petang.
“Sesi ini juga adalah yang kali pertama buat Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu,” kata Istana Negara dalam Facebook hari ini.
Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan. – UTUSAN










