Wanita hamil 'mengidam' samun kedai emas kena dakwa

Wanita hamil ‘mengidam’ samun kedai emas kena dakwa di mahkamah

TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka atas pertuduhan merompak kedai emas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suasana di Mahkamah Majistret di sini hari ini bertukar hiba apabila seorang wanita yang hamil tujuh bulan menangis teresak-esak selepas didakwa atas pertuduhan cuba merompak kedai emas minggu lalu.

Tertuduh, Norraniza Muhamad Puslam, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba melakukan rompakan terhadap Nur Rabeatul Addawiyah Rasul, 16, kira-kira pukul 4.45 petang di sebuah kedai emas Daz Jewellery di pasar raya Mydin Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah pada 20 Disember lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan berjumlah RM15,000 dengan dua penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Ilya Shahar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya sedang hamil tujuh bulan dan menanggung dua anak kecil,  ibu bapa serta adik yang masih belajar.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh 10 Februari ini untuk serahan dokumen.

Pada 24 Disember lalu, polis memberkas suspek wanita berjubah yang cuba menyamun sebuah kedai emas menggunakan sebilah pisau di sebuah pasar di Ayer Keroh.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil maklumat orang awam suspek berusia 35 tahun ditahan kira-kira pukul 5 petang di Kampung Kuala Linggi, Alor Gajah kelmarin.

Hasil soal siasat, suspek yang merupakan seorang eksekutif bahagian sumber manusia di sebuah syarikat swasta dan mempunyai pendapatan lumayan mendakwa melakukan perbuatan itu selepas didorong oleh perasaan untuk mencuba melakukan perkara ekstrem. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.