‘Wallahi saya tak ambil duit didakwa RM600 bilion’ - Muhyiddin - Utusan Malaysia

‘Wallahi saya tak ambil duit didakwa RM600 bilion’ – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin ketika menyampaikan ceramah Grand Finale PN sempena PRU15 Parlimen Padang Serai di Taman Selasih di Kulim. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG SERAI: “Wallahi, Wabillahi, Watallahi, satu sen pun wang itu saya tak ambil. Itu bukan duit saya, itu duit rakyat jelata”.

Demikian sumpah dilafazkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai isu wang RM600 bilion yang didakwa dibelanjakan di bawah era pentadbirannya dahulu.

Menurut Muhyiddin, jumlah sebenar yang dibelanjakan bukanlah RM600 bilion sebaliknya RM530 bilion merangkumi lapan pakej rangsangan ekonomi dan sebahagian besarnya berbentuk non-fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Kita belanja untuk bantu rakyat susah dan semuanya mengikut peraturan. Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk sebelah pembangkang dan beberapa rang undang-undang dibentangkan di Parlimen untuk mendapat kelulusan termasuk rang undang-undang Covid-19 dan tambahan peruntukan.

“Semuanya ‘halalan toyyiban’ dan diluluskan kerajaan. Yang menguruskan hal ini adalah bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang kini sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Maka Anwar boleh panggil Tengku Zafrul ke pejabat dan tanya betulkah RM600 bilion ini Muhyiddin ‘tapau’ semua? Kalau ‘tapau’, saya boleh hadap di mahkamah bila-bila masa,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Grand Finale PN sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Padang Serai di Taman Selasih di sini, malam tadi.

Semalam, Anwar menafikan dakwaan menyatakan beliau mengeluarkan arahan supaya siasatan lanjut dijalankan berhubung perkara berkenaan.

Namun katanya, setakat diketahuinya dan melalui maklumat pegawai, terdapat pelanggaran agak serius kerana ia melibatkan perolehan yang terlalu banyak.

Muhyiddin dalam sidang akhbar selepas itu berkata, Anwar selaku Menteri Kewangan juga boleh memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi mendapatkan taklimat mengenai perkara itu.

“Kena faham betul-betul dan jangan sebab ada satu atau dua orang manusia nak bangkitkan cerita, nak cari jalan menjatuhkan imej dan maruah kita, maka dibuat tuduhan melulu. Siasat betul-betul dan selepas itu barulah boleh keluar kenyataan.

“Beliau kata kemungkinan ada benda-benda itu (kesalahan). Jangan buat macam itu kerana sebagai Perdana Menteri, anda mesti bertanggungjawab atas apa yang diperkatakan kerana ia perlu disandarkan kepada fakta serta bukti dan bukannya khabar angin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.