Usul undi percaya mampu tingkatkan keyakinan pelabur

Usul undi percaya mampu tingkatkan keyakinan pelabur – Shafie Apdal

MOHD. Shafie Apdal (kiri) duduk sebaris dengan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng (tengah) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Meskipun dianggap tiada keperluan untuk membuat usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat, namun ia penting bagi memberi imej yang positif khususnya dalam aspek ekonomi.

Menjelaskan perkara itu, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara itu sudah pasti dapat memberi keyakinan kepada para pelabur apabila memilih Malaysia sebagai tempat pilihan pelaburan mereka.

“Walaupun kita sedar tiada keperluan untuk tidak dilakukan di Dewan Rakyat, tetapi ini sekurang-kurangnya yang kita hendak paparkan bukan hanya masyarakat dalam negara tetapi juga masyarakat antarabangsa.

MOHD. Shafie Apdal ketika mengangkat sumpah di Dewan Rakyat kelmarin.

“Kadang-kadang tanggapan masyarakat antarabangsa bahawa ketidakstabilan politik negara Malaysia ini sedikit sebanyak kesannya terhadap pelaburan datang ke negara kita. Jadi, dengan hanya keabsahanan bahawa semuanya telah beri sokongan terhadap kepemimpinan, kita yakin ini membantu bukan hanya menstabilkan politik bahkan dari segi ekonomi dapat beri tumpuan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat, bagaimanapun terdapat ahli Parlimen yang berkata, ia bukan keperluan untuk dibahaskan kerana sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika membentangkan usul berkenaan semalam berkata, langkah itu penting bagi menyokong sepenuhnya pelantikan dan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri Ke-10 (PM10).

Mengulas lanjut mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat hari ini, Mohd. Shafie berkata, ia sememangnya tidak perlu dibahaskan kerana sudah dibentangkan kerajaan sebelum ini.

“Ia sudah diluluskan dan tiada keperluan untuk dibahaskan, kalau kita tidak bagi kelulusan kepada perbelanjaan bukan hanya tanggungan rakyat yang ada, ini tidak akan membantutkan pengurusan kerajaan yang ada.

“Kalau ada projek baharu, ia perlu perbahasan, oleh kerana yang disebut Menteri Kewangan tidak ada projek baharu, ini projek 2022 yang sudah diluluskan pemerintahan dulu, jadi kita nak tunggu bagi briefing kepada ahli Parlimen baharu. Mungkin ada projek yang 10 tahun pun lima tahun lalu mereka tak tahu, takkan kita nak jelaskan. Kita kena bergerak ke hadapan.

“Apa yang penting negara kita kena bergerak ke hadapan kerana kita tahu rantau Asia tidak akan menunggu kita sebagai tempat untuk mereka melabur,” ujarnya lagi.

Dalam hal ini jelasnya lagi, kerajaan Pusat perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri tanpa mengira latar belakang politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN