KANGAR: Usaha bagi memperkasakan kesihatan golongan wanita kini semakin mencabar berikutan peranan yang dimainkan mereka semakin meluas di samping perlu menggalas pelbagai tanggungjawab lain.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, situasi ini mampu menjejaskan amalan gaya hidup seharian golongan wanita dan meningkatkan risiko penyakit kronik.
Baginda bertitah, wanita perlu menguruskan emosi dengan bijak dan sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi kehidupan seharian mereka.
“Selain itu, wanita juga perlu diberi pendedahan berkaitan gejala ketidakseimbangan hormon yang memberi kesan kepada gaya hidup dan penampilan mereka.
“Malah pemilihan produk kosmetik kecantikan yang bersesuaian juga seharusnya memerlukan pengawasan profesional kesihatan,” titah baginda sewaktu berkenan berangkat merasmikan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bertajuk ‘Wanita Sihat, Anggun, Berkarisma’ di Auditorium Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin yang diiringi anakanda kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Ismuni Bohari.
Majlis penutupan program itu juga disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pengerusi YTF.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin selaku Penasihat Diraja YTF turut melaku menitahkan golongan wanita melakukan langkah pencegahan awal dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan melakukan saringan kesihatan berkala.
“Sebagai usaha dalam memartabatkan insan bernama wanita di mana jua persada dunia, penjagaan diri seseorang wanita sangatlah penting,” titah baginda. – UTUSAN