UMNO perlu 'insaf' - Noraini Ahmad

UMNO perlu ‘insaf’ – Noraini Ahmad

AHMAD Maslan (tengah) menghadiri Majlis Taklimat Isu Semasa serta sokongan kepada Presiden UMNO bersama ahli Pergerakan Wanita UMNO di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu ‘insaf’ dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) bukan pilihan utama untuk mentadbir negara. 

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, parti itu perlu mencari jalan untuk memulihkan keadaan supaya UMNO kekal relevan. 

Malah, katanya, meletakkan salah pada seseorang juga bukanlah masa yang sesuai ketika ini.

“Keputusan PRU15 adalah suatu isyarat jelas daripada rakyat yang harus diinsafi dan dihormati oleh ahli-ahli UMNO dan BN. Kita perlu akur untuk menerima dan menghormati mandat yang diberikan ini.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk kita meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak. Sebaliknya, kita harus mengambil iktibar dan pelajaran serta jadikan ia sebagai titik permulaan untuk UMNO dan BN mengorak langkah bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat,” katanya pada Majlis  Taklimat Isu Semasa dan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, katanya, Wanita UMNO bersolidariti untuk terus memberi kepercayaan dan keyakinan kepada Ahmad Zahid untuk terus memimpin parti. 

“Keputusan PRU15 juga menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Alhamdulillah, kebuntuan yang berlaku dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. BN menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan kerajaan perpaduan yang dibentuk ini stabil demi kemakmuran rakyat dan negara.

“UMNO dan BN perlu memandang ke hadapan demi kelangsungan parti ini. Justeru, Wanita UMNO menyeru seluruh ahli UMNO dan BN  amnya serta ahli Wanita khasnya untuk bersama-sama memberi kepercayaan, keyakinan dan bersolidariti dengan Presiden dan pucuk pimpinan parti dalam usaha untuk memulihkan keyakinan rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung IMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemui berkata, tiada mana-mana pihak perlu meletak jawatan termasuk Presiden parti berikutan kekalahan pada PRU15. 

“Yang perlu adalah muhasabah kita perbaiki apa patut diperbaiki, gerak ke hadapan buat langkah strategik untuk memastikan parti kita terus hidup  dan  berkembang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.