UMNO belum putus pertanding jawatan Presiden, Timbalan

UMNO belum putus pertanding jawatan Presiden, Timbalan

AHMAD Maslan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di SK Kampung La, Besut, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: UMNO belum memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan atau sebaliknya  pada Perhimpunan Agung UMNO  (PAU), bulan depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan membuka atau tidak pertandingan dua jawatan itu belum ditetapkan yang mana perkara tersebut kebiasaannya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat MKT.

“Selalunya dibincang dalam mesyuarat MKT. Kita tiap-tiap bulan ada mesyuarat, sama ada (dibuka pertandingan atau tidak) belum ada lagi keputusan,” katanya selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 200 mangsa banjir di kampung itu menerima bantuan barangan makanan.

Beliau juga melawat rumah penduduk yang rosak dalam kejadian banjir terburuk di kampung itu sejak tahun 2000 pada 18 Disember lalu.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, pemilihan UMNO termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak menggugat kestabilan kerajaan perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, sebarang perubahan kepemimpinan UMNO dilihat tidak memberi kesan kepada kedudukan kerajaan meskipun pimpinan tertinggi parti itu terlibat dalam pembentukan tersebut. 

Ahmad yang juga Menteri Kewangan I berkata, UMNO berterima kasih kepada semua pihak yang memberi pandangan berhubung pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.

“Terima kasihlah kerana masih mengambil perhatian berat tentang UMNO,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, perkara berkaitan kerajaan perpaduan yang melibatkan kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) antara yang disentuh dalam ucapan Presiden parti pada PAU itu.

“Kita juga tidak menyekat perwakilan  daripada menyentuh perkara mengenai itu (kerjasama UMNO dan PH). Keputusannya telah dibuat oleh MKT,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya