Tun Juhar Mahiruddin dilantik semula Yang Dipertua Negeri Sabah 

Tun Juhar Mahiruddin dilantik semula Yang Dipertua Negeri Sabah 

TUN Juhar Mahiruddin menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan semula Tun Juhar Mahiruddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah menamatkan spekulasi bahawa terdapat tiga nama lain bakal dilantik untuk jawatan itu.

Tun Juhar menerima Surat Cara Pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama dua tahun daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Istiadat pengurniaan turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, dua bekas Ketua Menteri Sabah iaitu Tan Sri Musa Aman dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia disebut antara tiga nama disebut-sebut dilantik Yang Dipertua Negeri Sabah.

Pelantikan Tun Juhar, 69, sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah untuk penggal keempat sekaligus menyaksikan beliau memegang jawatan berkenaan selama lebih 10 tahun sejak dilantik pada 1 Januari 2011. 

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England pernah menyandang jawatan selaku Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sejak 2002 hingga 2010 dan juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 1990 hingga 1999.

DUN Sabah sebelum ini  meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah bagi menghapuskan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri Sabah yang selama ini dihadkan kepada dua penggal.

Menurut perlembagaan Sabah, pelantikan Yang Dipertua Negeri adalah selama empat tahun akan tetapi boleh dipanjangkan mengikut kesesuaian termasuk boleh disingkirkan dengan majoriti dua pertiga DUN dan dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong.

Pada 2018, Musa Aman pernah memfailkan saman terhadap Tun Juhar dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika itu bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukan undang-undang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.