KUALA LUMPUR: Waris dan keluarga mangsa tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highland, Hulu Selangor dekat sini masih menaruh harapan, walaupun 21 mangsa dilaporkan maut ketika ini.
Ketika ini, antara tiga hingga empat waris mangsa mula hadir di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh sejak pukul 8 pagi ini bagi membuat pengesahan identiti.
Seorang lelaki warga emas yang dipercayai waris mangsa kelihatan tidak dapat menyembunyikan perasaannya apabila mengalirkan air mata ketika berjalan kaki menuju ke Jabatan Forensik.
Salah seorang wakil sukarelawan Pertubuhan Yayasan Tzu Chi Buddha, Tan Chee Wei berkata, pihaknya berkhidmat di hospital untuk memberikan sokongan moral kepada waris mangsa.
“Waris masih berharap sungguhpun mereka tahu sudah ada beberapa mangsa tapi mereka masih lagi bagitau (berharap).
“Ada ahli keluarga yang dah bagi sampel DNA (asid deoksiribonukleik) tetapi sampai setakat ini belum dipastikan, ini perlu disahkan oleh pihak hospital,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya lagi, pihak hospital turut menawarkan sesi kaunseling kepada keluarga mangsa.- UTUSAN










