HULU SELANGOR: Perdana Menteri dijadual mengumumkan bantuan kepada 94 orang mangsa yang terlibat dalam kejadian runtuhan tanah di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat sini, malam ini.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas meninjau pos kawalan kejadian tanah runtuh di sini, lewat petang tadi.
“Perdana Menteri akan datang malam ini, dan akan mengumumkan bantuan kepada mangsa yang meninggal dan telah diselamatkan dan juga yang belum ditemukan.
“Saya bagi pihak kerajaan ingin ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan pihak agensi penguat kuasa sedaya yang mungkin meneruskan dengan kaedah-kaedah teknologi baru dan jentera berat dan menggunakan anjing-anjing pengesan,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, seramai 21 orang disahkan maut dalam kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkemahan di sini.
Selain itu, sebanyak 61 daripada 94 orang individu pula dapat diselamatkan.
Setakat ini, lebih 600 anggota penyelamat masih giat menjalankan usaha mencari dan menyelamat 12 lagi mangsa yang belum ditemukan. – UTUSAN