[TRAGEDI BATANG KALI] Mangsa dibawa ‘arus’ tanah sukarkan operasi  - Utusan Malaysia

[TRAGEDI BATANG KALI] Mangsa dibawa ‘arus’ tanah sukarkan operasi 

LOKASI kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Kedudukan mangsa runtuhan tanah di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat sini, dipercayai bergerak sejauh 50 hingga 100 meter dari lokasi asal menjadikan kesukaran kepada pasukan operasi dan menyelamat di sini.

Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, ini kerana runtuhan tanah menyebabkan mangsa dibawa ke bahagian bawah.

“Kesukaran dihadapi adalah berkaitan dengan kedudukan mangsa sebab runtuhan tanah telah membawa mangsa ke bawah. Kemungkinan bergerak sejauh 50 ke 100 meter (dari lokasi asal),” katanya kepada pemberita.

Ketika ditanya sama ada terdapat runtuhan susulan, Norazam berkata, terdapat sedikit runtuhan sekitar pukul 7 hingga 9 pagi tadi di bahagian atas sekali tempat runtuhan bermula.

“Dalam keadaan sekarang masih baik, tetapi masih berwaspada sebab ada aliran air keluar daripada runtuhan.

“Tetapi kami sudah meletakkan pegawai bagi memantau pergerakan tanah supaya apa-apa berlaku kita dapat beri amaran kepada anggota penyelamat,” katanya.

Beliau menambah, operasi yang dijalankan ini akan diteruskan bergantung kepada keadaan cuaca.

“Jika hujan kita hentikan serta-merta, tetapi setakat ini kita masih teruskan dengan menyusun (pergerakan) anggota sehingga kesemua mangsa ditemukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN