PETALING JAYA: Pengalaman dan kepakaran dipertaruh dalam barisan Timbalan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk menyantuni kehendak serta aspirasi rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kepelbagaian dan perbezaan yang ada diraikan dengan semangat untuk mencari kesepakatan membina negara bangsa yang berjaya.
“Tahniah diucapkan kepada para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang ditaklifkan amanah sebagai Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan seramai 27 Timbalan Menteri bagi memperkuatkan saf kepimpinan kerajaan diterajui beliau.
Beberapa muka baru digandingkan dengan pemimpin berpengalaman yang terdiri daripada gabungan serta parti politik yang membentuk Kerajaan Persekutuan. – UTUSAN










