HULU SELANGOR: Ketiadaan maklumat tepat mengenai kedudukan terakhir sembilan lagi mangsa tanah runtuh di tapak perkemahan Father’s Organic Farm (FoF) di Jalan Batang Kali-Genting Highlands menyukarkan operasi mencari yang memasuki hari kelima hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pasukan penyelamat hanya bergantung kepada data timbunan tanah serta saksi.
“Masalahnya kita tidak tahu dekat mana mereka (mangsa) selain tanah lembik yang menyukarkan operasi.
“Kita buat pencarian hanya berdasarkan kepada data yang dibagi seperti timbunan tanah, ketinggian dan daripada saksi,” katanya pada sidang media operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, pagi ini.
Ditanya mengenai status pencarian menggunakan ‘sweeper’, Hafisham berkata, kaedah berkenaan diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian sehingga ke Sungai Kedondong.
Jelasnya, seramai 28 anggota terdiri daripada JBPM dan Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) melibatkan jarak sehingga empat kilometer (km).
“Kita pecahkan kepada dua iaitu 14 setiap pasukan dan mereka akan pergi keliling ‘ground zero’ sehingga sungai terdekat iaitu Sungai Kedondong dengan jarak lebih kurang tiga hingga empat km.
“Ini adalah untuk kepastian kerana kita tidak menjangka kemungkinan besar mangsa hanyut ke sana, sekurangnya kita ikhtiar mencari.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.
Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang.
Bagaimanapun tiada sebarang mangsa ditemukan sejak hari ketiga operasi SAR sehingga jam 11 pagi ini meskipun malam tadi alat pengesan ‘Ground Penetrating Radar’ (GPR) mengesan bendasing di lima titik utama sekitar lokasi pencarian. – UTUSAN