Tidak masuk akal syarikat jdi menyumbang kepada kumpulan dituduh Taliban - Abdul Hadi

Tidak masuk akal syarikat judi menyumbang kepada kumpulan dituduh Taliban – Abdul Hadi

abdul hadi
ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyangkal tuduhan Perikatan Nasional (PN) mendapat dana daripada syarikat-syarikat judi dengan alasan tidak masuk akal tauke dan syarikat judi menyumbang kepada parti yang di dalamnya terdapat kumpulan dituduh sebagai Taliban.

Katanya, juga tidak masuk akal jika syarikat-syarikat terbabit menyalurkan dana kepada pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas.

“Hal ini bermakna tauke judi itu sangat bodoh, walaupun pandai menipu dan paling banyak menyumbang rasuah kepada penerima rasuah yang ditarik bergabung dengan bekas banduan kluster mahkamah, sehingga menjadi penyokong kuat PH (Pakatan Harapan) bagi menubuhkan kerajaan.

“Apabila Pas memerintah Kelantan, maka diambil suatu langkah bagi menutup tempat perjudian yang diharamkan oleh Islam dan diadakan dialog dengan para pemimpin semua agama. Mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan oleh semua agama.
“Selepas itu, kami menghadapi masalah apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian. Adapun lesen kebenaran berjudi adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai reaksi kepada dakwaan PN mendapat dana daripada syarikat-syarikat perjudian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dakwaan itu turut dikaitkan dengan pertambahan cabutan khas empat nombor ekor daripada lapan kali kepada 22 kali pada tahun lalu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bahawa cabutan khas itu dikurangkan kepada jumlah asal iaitu lapan kali setahun.
Abdul Hadi berkata, apabila kerajaan Pas Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah menutup premis perjudian dan lain-lain di bawah bidang kuasanya, tiba-tiba tindakan itu mendapat protes daripada parti komponen PH, walaupun dalam perkara yang hanya berkait dengan hak umat Islam.
“Malangnya, mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu.
“Pepatah Melayu ada menegaskan, “Kalau rumah berdinding kaca jangan dikacau rumah orang lain, nanti kalau dibalas maka berkecailah dinding rumah kamu itu.”
“Mereka juga boleh melakukan dengan cara menipu orang-orang yang sangat bodoh, khususnya melalui media yang boleh melariskan penipuan itu, laksana penjual ubat yang boleh menjual biji-biji tahi kambing, jika pandai mensyarahkannya maka boleh ditafsirkan menjadi majun yang laris dijual,” katanya. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN