Pasangan sebak terima ijazah arwah anak

Pasangan sebak terima ijazah arwah anak

KAMARUDDIN Najib dan Azizah sebak ketika menaiki pentas bagi menerima ijazah bagi pihak anak mereka pada majlis konvokesyen UMT ke 20 di Kuala Nerus, Terengganu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Nerus : Sepasang suami isteri sebak tatkala diiringi ke pentas utama untuk menerima ijazah secara bagi pihak arwah anak mereka pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-20 di Dewan Sultan Mizan, di sini semalam.

Kamaruddin Najib, 68, dan Azizah Osman, 65, mewakili Allahyarhamah Fatin Nabila Kamaruddin yang menghembuskan nafasnya terakhir pada 5 September 2021 akibat kanser darah.

Allahyarhamah bekas penuntut cemerlang bagi program Sarjana Muda Perakaunan di Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pemba­ngunan Sosial (FPEPS).

Menurut Kamaruddin, dia tidak menyangka akan naik ke pentas untuk mewakili arwah anak bongsunya itu.

“Saya sangat sedih bila menjejakkan kaki ke kampus UMT semalam. Pilu teramat sangat apabila terkenangkan memori ketika hari pendaftaran Fatin Nabila beberapa tahun dahulu.

“Sepatutnya, hari ini kami melihat dia yang naik ke pentas untuk terima skrol ijazah bersama-sama kawan-kawan yang lain. Tapi, kami pula yang naik ke pentas bagi pihaknya.

Saya pasti dia amat gembira kalau dia masih ada”, katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia dan isteri gagahkan diri untuk menghadiri ke majlis itu selepas menerima jemputan daripada pihak UMT.

“Bila dapat jemputan daripada UMT, kami rasa berbelah bahagi kerana memikirkan keadaan kesihatan untuk menempuh perjalanan yang agak jauh dari Perak ke Terengganu.

“Setelah memikirkan ini adalah kenangan terakhir yang arwah tinggalkan, saya dan pasangan gagahkan diri untuk hadir ke majlis ini.

Pasangan suami isteri itu bersyukur dan berterima kasih kepada pihak UMT atas sokongan dan bantuan yang telah diberikan.

“UMT sangat-sangat membantu kami. Setiap urusan dan permasalahan diuruskan dengan cepat. Kebajikan Arwah Fatin Nabila turut disalurkan tanpa ba­nyak soal. Pengurusan ter­tinggi UMT juga datang menyantuni arwah ketika sedang dalam rawatan di hospital serta memberi kebenaran untuk arwah menjalani peperiksaan semester di hospital”.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd. Ghaffar merakamkan ucapan takziah buat keluarga Kamaruddin Najib atas pemergian puteri ke­sayangannya. Majlis Konvoke­syen UMT ke-20 itu menyaksikan 1,601 graduan terdiri daripada 171 graduan pasca siswazah, 1,297 graduan sarjana muda dan 133 diploma yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN