Tiada tanda awal risiko berlaku tanah runtuh

Tiada tanda awal risiko berlaku tanah runtuh

Anggota polis menunjukkan gambar yang dirakam daripada dron mengenai lokasi pencarian mangsa tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali didakwa gagal dikesan lebih awal berikutan tiada tanda-tanda rekahan atau pergerakan tanah berlaku di bahagian atas cerun dan jalan raya.

Dapatan tersebut berdasarkan pemantauan secara berkala oleh kontraktor dilantik Jabatan Kerja Raya di kawasan berkenaan yang dibuat melalui jalan bertanda B66 itu serta cerun-cerun di sekelilingnya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Izham Hashim berkata, perkara tersebut dimaklumkan kepadanya menerusi satu mesyuarat jawatankuasa berkaitan yang diadakan semalam.

“Kita ada penyelenggaraan di jalan itu di bawah kontrak jangka pendek dan panjang. Kontraktor memang kena secara kerap menyelenggara jalan itu, keadaan dan sebagainya. Memang ada kontraktor masing-masing yang kita lantik.

“Kalau ada perkara-perkara pelik, memang sepatutnya kena lapor tetapi tak ada tanda-tanda seperti itu.

“Dalam inventori kita pun tidak dikatakan sebagai berisiko. Cuma kena faham runtuhan tidak bermula dari atas. Kadang-kadang kaki cerun akan gelincir dari bawah sementara bahagian atas akan ikut turun runtuh sekali,” katanya ketika dihubungi.

Walau bagaimanapun, laporan Mingguan Malaysia pada Ahad lalu menyatakan kawasan tragedi berkenaan diklasifikasikan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebagai cerun kritikal kerana kecuramannya melebihi 45 darjah.

Kata Timbalan Ketua Pengarahnya, Zamri Ramli, cerun di tepi Jalan Batang Kali-Genting Highlands itu adalah buatan dan hujan di kawasan tersebut sejak beberapa hari sebelum kejadian menjadikannya lemah.

Dalam pada itu, Izham tidak menolak kemungkinan runtuhan bermula di bahagian kaki cerun berikutan kedudukan tapak perkhemahan persendirian itu berada pada kedudukan landai.

“Kawasan tapak perkhemahan memang landai. Tak tahulah, kita syak mungkin pemilik membuat kerja-kerja meratakan tanah di bahagian bawah, tetapi bukan di cerun, sebaliknya di kakinya. Tetapi kita tunggu siasatan forensik,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan tragedi tersebut perlu dirujuk kepada undang-undang kerana ia berlaku melibatkan tanah milik kerajaan negeri dan persendirian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN