Tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri di Malaysia

Tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri di Malaysia

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri dilaporkan berlaku di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Naegleri Fowleri merupakan ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya di dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah.

Namun, menurutnya, ia tidak ditemui dalam air masin seperti di lautan.

“Ameba Naegleri Fowleri itu juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang.

“Ia berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar. Namun, sehingga kini tiada bukti jangkitan boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, KKM merujuk kepada sebuah laporan berita disiarkan semalam yang melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria Fowleri di Korea Selatan dengan Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan bahawa seorang lelaki warga Korea Selatan berusia lingkungan 50-an meninggal dunia pada 21 Disember lalu selepas dijangkiti ameba Naegleria Fowleri.

Jelas beliau, lelaki terbabit dilaporkan menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, ameba Naegleri Fowleri boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang seterusnya boleh membawa maut.

“Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah. Gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku.

“Kebiasaannya, gejala-gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan boleh muncul seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti,” katanya.

Tambah beliau, keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala.

Jelasnya, penyakit ini didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri di dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti, manakala rawatan bagi penyakit ini adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan.

Namun, katanya, rawatan adalah sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit ini berlaku sangat cepat.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengambil langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti di air tawar seperti mengelak daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ.

Katanya lagi, aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air yang mungkin dicemari oleh ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus juga perlu dielakkan selain mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air.

“Segera dapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti di dalam air.

“KKM akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negara dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat selain komited dalam memberikan informasi tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.