Terengganu sasar tiga juta pelancong tahun depan - Utusan Malaysia

Terengganu sasar tiga juta pelancong tahun depan

SEBAHAGIAN pemenang AMCT bergambar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan seramai tiga juta pelancong mengunjungi negeri ini pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sasaran tiga juta pelancong berkenaan menyamai pencapaian yang dicatatkan pada tahun ini.

“Kita tidak bergantung semata-mata kepada produk pelancongan sedia ada iaitu rangkaian pulau, alam semulajadi, makanan, seni dan budaya unik Pantai Timur. Sebaliknya, kita juga mengatur pelbagai program dan aktiviti dalam kalendar pelancongan bagi mencapai sasaran terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan Memancing Monsun ASEAN (AMCT) di Pulau Poh, Tasik Kenyir di sini semalam.

Seramai 440 pemancing termasuk dari Amerika Syarikat, Thailand, Singapura dan Lithuania menyertai pertandingan selama tiga hari bermula Sabtu lalu.

Pasukan Jertih Casting Crew (JCC) muncul juara dan menggondol hadiah berupa piala pusingan, plak serta peralatan memancing bernilai RM10,000.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga pula dirangkul pasukan Tackle Valley serta Bekeng dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa barangan memancing bernilai lebih RM5,000.

Dalam pada itu, Ariffin memberitahu, AMCT yang dianjurkan bertujuan mempromosi Tasik Kenyir sebagai destinasi riadah pilihan pada musim tengkujuh mencapai matlamatnya menarik penyertaan luar negara.

Tambahnya, kerajaan negeri mengharapkan lebih ramai peserta tempatan dan luar negara akan menyertai AMCT selepas ini.

“Selain itu, AMCT juga akan turut dimasukkan di dalam kalendar pelancongan Terengganu pada tahun depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya