Taskforce dibentuk cari solusi 381 projek perumahan ‘sakit’

Taskforce dibentuk cari solusi 381 projek perumahan ‘sakit’

PASUKAN petugas khas ditubuhkan bagi mencari penyelesaian terhadap 381 projek perumahan dibina pemaju swasta yang dikategorikan sebagai sakit. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan bakal membentuk satu taskforce atau pasukan petugas untuk melindungi hak dan kepentingan para pembeli rumah.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, mereka juga akan mencari penyelesaian terhadap 381 projek perumahan dibina pemaju swasta yang dikategorikan sebagai sakit di negara ini.

“Saya memandang serius isu projek terbengkalai itu kerana pembangunan perumahan adalah salah satu faktor penting penjanaan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan.

Industri berkenaan yang melibatkan hampir 200 pemain ujarnya, bagaimanapun diharap terus berkembang maju pada tahun depan bagi memenuhi permintaan pembeli hartanah.

Justeru, pihak kementerian itu bersedia melancarkan banyak rumah mampu milik bermutu tinggi agar rakyat dapat memiliki kediaman sendiri yang selesa dengan harga berpatutan.

Menurut statistik, kementerian tersebut perlu membina sejumlah 83,728 unit di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan 22,209 unit daripada sasaran berkenaan siap dibina.

Sejumlah 47,637 unit dalam pembinaan, manakala baki 13,882 unit akan dapat disiapkan menjelang hujung 2025 kelak iaitu tempoh terakhir bagi rancangan lima tahun berkenaan.

“Bergerak ke hadapan, khususnya dalam perancangan bandar, pihak kementerian juga akan memberi fokus Matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2030,” tambah Kor Ming.

Agenda ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu itu, namun memerlukan kerjasama aktif antara kerajaan dan swasta dalam membina banyak ruang hijau dan pembinaan mesra alam.

Ini kata beliau, termasuk dari segi gaya reka bentuk bangunan selain pembinaan lebih banyak kawasan perumahan dan premis komersial yang berdaya huni serta berkonsep hijau.

Selain itu, pihak kerajaan turut menyokong inisiatif agar ramai golongan muda memiliki rumah pertama melalui insentif pengecualian penuh duti setem bagi harga kurang RM500,000.

Sementara untuk rumah yang dijual dengan harga antara RM500,000 sehingga RM1 juta pula, pembeli berkenaan katanya, akan menikmati potongan duti setem sebanyak 50 peratus.

“Saya optimis pasaran perumahan tahun depan memandangkan situasi politik negara kita kembali stabil dan para pelabur asing juga ada keyakinan terhadap kerajaan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Kor Ming berkata, bagi memantapkan lagi pembinaan perumahan awam, beliau menjemput Singapura untuk berkongsi kepakaran dan pengalamannya.

Pihak Lembaga Pembangunan Perumahan di republik itu sejak dibentuk pada 1960 lalu menjadi rujukan banyak negara dalam penyusunan dasar kediaman awam secara optimum.

Bahkan beliau percaya perkongsian itu kelak mampu membantu dalam meningkatkan tahap perancangan bandar di Malaysia melalui kaedah yang lebih inovatif demi rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya