PETALING JAYA: Seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan meninggal dunia dalam runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali dekat sini merupakan kanak-kanak lelaki.
Turut dilaporkan meninggal dunia seorang wanita.
Perkara itu disahkan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Selangor kepada media.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai identiti kedua-dua mangsa berkenaan.
Terdahulu, dianggarkan 51 mangsa dikhuatiri masih terperangkap di dalam runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali di sini hari ini.
Maklumat setakat pukul 7 pagi tadi mendapati sebanyak 79 orang menjadi mangsa dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 23 orang ditemukan dalam keadaan selamat manakala dua dipercayai meninggal dunia serta tiga cedera. – UTUSAN










