Taman tema air ditutup selepas beroperasi tanpa lesen - Utusan Malaysia

Taman tema air ditutup selepas beroperasi tanpa lesen

NOTIS arahan penutupan taman tema air di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang oleh MBSP selepas didapati beroperasi tanpa lesen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Taman tema air di Bertam, dekat sini yang baru beroperasi sejak pertengahan bulan ini ditutup hari ini selepas didapati beroperasi tanpa lesen.

Jurucakap Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam kenyataan memaklumkan, operasi aktiviti hiburan taman tema air berkenaan ditutup kerana beroperasi tanpa lesen hiburan dan melanggar peruntukan Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

“Terdahulu, satu pemeriksaan telah dijalankan oleh Jabatan Pelesenan MBSP pada 16 Disember lalu dan semakan mendapati premis tersebut telah melakukan kesalahan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Satu tawaran mengkompaun kesalahan telah dikeluarkan kerana beroperasi tanpa lesen dan satu notis mengkehendaki perniagaan dihentikan juga telah dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari kepada pemilik dan diterima oleh wakil pemilik,” demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.

MBSP menerusi kenyataan itu juga bagaimanapun berkata, pemeriksaan susulan dilakukan ke atas premis terbabit enam hari kemudian dan mendapati ia masih beroperasi.

“Satu notis kesalahan bagi menghentikan aktiviti hiburan taman tema air di bawah enakmen sama telah dikeluarkan bagi tempoh tiga hari kepada pemilik dan telah diserahkan.

“Semalam, hasil pemantauan kira-kira pukul 4.30 petang mendapati premis berkenaan masih menjalankan aktiviti sama dan hari ini tindakan penutupan dibuat pukul 9.40 pagi tadi,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 27 saat memaparkan pengunjung berkumpul di hadapan pintu masuk taman tema air terbabit.

Menerusi video sama, tindakan penguat kuasa terbabit didakwa menganiayai pengunjung sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai yang datang sempena cuti sekolah.

Taman tema yang bernilai kira-kira RM90 juta itu mulai beroperasi pertengahan bulan ini atas tanah seluas lebih lapan hektar milik The Maritime Water Front Suites Sdn. Bhd..

Sebelum ini, projek terbabit dilaporkan tertangguh sejak lebih tiga tahun lalu akibat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan termasuk Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.