Syarikat gergasi monopoli pengeluaran simen

Syarikat gergasi monopoli pengeluaran simen

KERATAN laporan Utusan Malaysia kelmarin berhubung isu kenaikan harga bahan binaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti monopoli pengeluaran simen negara oleh syarikat besar adalah antara punca berlaku kenaikan harga bahan binaan tanpa kawalan di pasaran ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, tindakan itu dilakukan menerusi pembelian syarikat-syarikat kecil oleh syarikat besar.

Katanya, syarikat mega yang terlibat dalam percaturan kartel simen itu mempunyai pelbagai rangkaian perniagaan, termasuk penghasilan simen, pembinaan dan industri tenaga.

Justeru, beliau mendesak kerajaan memandang serius isu kenaikan harga simen sekarang ini di samping segera menangani komplot monopoli penghasilan simen yang menjejaskan sektor pembinaan seluruh negara.

“Kita mahu kerajaan ambil serius isu kartel yang mengawal sektor penghasilan simen negara. Ini adalah angkara kartel. Ada sebuah syarikat gergasi yang sudah membeli syarikat-syarikat simen lain di seluruh negara. Itulah kartel.

“Sekarang syarikat itulah yang terbesar menguasai industri simen negara. Syarikat itu sudah membeli semua syarikat simen lain, jadi mereka sekarang mempunyai kawalan ke atas bekalan produk itu,” dakwanya.

Untuk rekod, terdapat empat syarikat besar yang terlibat dalam penghasilan simen seluruh negara. Utusan Malaysia menghubungi salah satu syarikat yang beribu pejabat di Lembah Klang, yang memberitahu akan menyiasat laporan akhbar ini tentang kenaikan harga simen. Sementara itu, usaha akhbar ini mendapatkan reaksi daripada tiga syarikat pembuatan simen yang lain masih tidak berjaya.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan bahawa harga simen, yang merupakan salah satu dari Barang Kawalan Berjadual, melonjak naik sehingga 30 peratus iaitu dari RM17 setiap beg seberat 50 kilogram kepada RM22.50 sejak pembubaran Parlimen pada Oktober lalu.

Menjelaskan lanjut, Mohamed Fadzill berkata, kenaikan harga simen tinggi akan menjejaskan pembangunan projek-projek perumahan kos rendah.

Hal ini katanya, pasti memberi kesan buruk jangka sederhana dan panjang kepada rakyat yang sekarang ini semakin sukar memiliki rumah sendiri.

“Bagi pihak kontraktor, susah bagi kami menyiapkan projek-projek. Misalnya projek rumah murah di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Kami di pihak kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan rumah murah di bawah SPNB ini memang terkesan.

“Bila simen naik harga, maka kos pembinaan rumah murah juga akan naik. Di pihak PKMM, yang kita buat rumah untuk SPNB, kosnya dalam RM90,000 untuk sebuah rumah. Dengan kos itupun, cuma cukup makan saja. Rumah-rumah itu, ahli-ahli kita bangunkan di seluruh negara.

“Sekarang ini apabila harga simen naik, tiada margin keuntungan, tak boleh buat pun. Maksudnya, bila simen naik harga macam sekarang, silap haribulan projek-projek perumahan rakyat pun tidak boleh dibangunkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN