Suami isteri didakwa aniaya anak lelaki hingga cedera - Utusan Malaysia

Suami isteri didakwa aniaya anak lelaki hingga cedera

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak lelaki mereka yang berusia lapan tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan, minggu lalu.

Tertuduh, Abu Bakar Rahman, 32, dan isterinya, Andia Rosa, 35, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak lelaki mereka, dengan sengaja menganiaya kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Segambut Tengah di sini pada 23 Disember lalu.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh Abu Bakar manakala Andia tidak ditawarkan jaminan kerana wanita itu warganegara Indonesia.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diberikan jaminan rendah.

“Saya mempunyai lima tanggungan termasuk menyara ibu saya yang merupakan ibu tunggal,” kata Abu Bakar.

Mahkamah kemudian membenarkan Abu Bakar diikat jamin RM10,000 manakala Andia tidak dibenarkan diikat jamin.

Tarikh 16 Januari ini ditetapkan untuk sebutan kes. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN