PUTRAJAYA : Status empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang meninggalkan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) boleh ditentukan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ini kerana Perkara 49A membenarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat menentukan status ahli Dewan Rakyat, apabila beliau menerima notis berlaku kekosongan luar jangka dari ahli Dewan Rakyat.

Namun, kata beliau, ia melainkan ada pihak yang membawa ke mahkamah kerana mempertikai keputusan speaker tentang kedudukan ahli Parlimen berkenaan.
“Dalam keadaan sekarang, Speaker Dewan Rakyat perlu putuskan sama ada berlaku kekosongan luar jangka. Kuasa itu diberikan oleh undang-undang Anti Lompat Parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Jika ada pihak yang tak puas hati dengan keputusan Speaker, maka boleh bawa ke mahkamah,” katanya di sini semalam.
Wan Ahmad Fauzi berkata, timbul keraguan dalam isu ini dari sudut pentafsiran sama ada anggota parti politik itu merujuk kepada parti politik yang menamakan pencalonan Ahli Dewan Rakyat atau merangkumi parti politik asalnya juga.
Kata beliau, wujud kesamaran dalam undang-undang ini kerana tiada tafsiran “melepaskan keanggotaan parti politik itu” dan “dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu”.
“Adakah parti politik itu merujuk parti politik yang mencalonkan dalam proses penamaan? Ini kerana parti politik juga ditafsirkan sebagai “dan termasuklah gabungan Pertubuhan sedemikian”.
“Ia juga boleh bermaksud seorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti kedua-duanya,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi yang juga profesor Madya Universiti Malaysia Pahang, menjelaskan, seperti parti-parti lain dalam GRS, yang mana kedua-duanya bersetuju untuk sokong Kerajaan Perpaduan, itu tiada masalah kerana tidak berlaku perpindahan yang membawa maksud lompat parti.
Katanya, jika ahli Bersatu dalam GRS kekal dalam Bersatu tetapi sokong dengan pendirian GRS juga tidak menjadi masalah kerana tidak berlaku keluar parti Bersatu.
“Ini termasuk jika mereka dipecat daripada Bersatu, tidak terjejas keanggotaan dalam Dewan Rakyat,” katanya. Kelmarin, Bersatu Sabah dilaporkan lumpuh apabila semua wakil rakyatnya keluar parti.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua wakil rakyat mengambil keputusan keluar dan meninggalkan Bersatu Sabah.
Pada PRU15 lalu, terdapat empat ahli Parlimen Bersatu Sabah menang, namun mereka menggunakan tiket GRS.
Bagaimanapun undang-undang lompat parti tidak terpakai membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana Sabah belum menggubal enakmen mengekang wakil rakyat menyertai parti lain.-UTUSAN









