KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menentukan status empat Ahli Parlimen Bersatu di Sabah yang bertindak meninggalkan parti itu, dalam tempoh 21 hari bermula Selasa lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Johari Abdul berkata, beliau telah menerima notis daripada Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee agar keempat-empat ahli Parlimen berkenaan mengosongkan kerusi terlibat.
“Saya sudah terima notis tersebut pada 27 Disember lalu dan saya ada 21 hari untuk bertindak. Jadi, saya sedang membuat kajian mengenai perlembagaan parti.
“Yang paling penting dalam hal ini, kita perlu melihat dari segi perlembagaan parti. Mungkin saya juga akan dapat maklumat lanjut daripada mereka juga. Selepas daripada itu, saya akan buat keputusan sama ada kerusi itu perlu dikosongkan atau bagaimana,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Ronald memaklumkan yang beliau telah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memastikan bekas empat ahli Parlimen Sabah Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengosongkan kerusi mereka.
Katanya, notis itu adalah bagi memastikan telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu Johari ketika ditanya sama ada perlu menunggu sebarang notis daripada pihak empat ahli Parlimen terbabit atau tidak, jelasnya, tidak perlu dan beliau boleh membuat keputusan secara terus menggunakan notis yang dihantar Ronald.
Terdahulu, empat pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS).
Mereka ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau). – UTUSAN










