JOHOR BAHRU: Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza mahu menghiburkan peminatnya pada skala besar menerusi satu konsert mega yang dirancang untuk diadakan, tahun depan.
Menurut beliau, perancangan tentang konsert berkenaan telah dimulakan namun pihaknya masih menunggu kata putus daripada beberapa pihak terlibat sebelum memaklumkan perkara itu kepada umum.
“Tahun depan inshaAllah saya ada perancangan untuk mengadakan konsert berskala besar, namun untuk menjayakan perkara itu mesti ada perancangan rapi terdahulu.
“Perbincangan dan mesyuarat berhubung perkara itu sudah dimulakan, cuma tinggal untuk mengesahkan, tunggu ‘akad’ sahaja dan saya akan adakan sidang akhbar bagi mengumumkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi bertemu peminat sempena persembahan eksklusif ‘A Night To Remember’ yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, malam ini dan esok.
Antara lagu yang akan dinyanyikan dalam persembahan berkenaan termasuklah Nian di hati, Diari hatimu, Jaga dia untukku dan Bidadari Syurga.
Sementara itu, mengulas berhubung persembahan berkenaan, Siti Nurhaliza memberitahu penonton akan disajikan dengan lebih 20 buah lagu popularnya yang membuatkan dirinya dikenali bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, walaupun masih bergelut dengan isu kesihatan khususnya selepas menghidap penyakit Covid-19 beberapa bulan lalu, dia tetap akan memberikan persembahan terbaik buat semua peminatnya di selatan tanah air.
“Saya masih dalam proses sembuh tetapi InshaAllah akan dapat buat persembahan dengan baik. Saya juga sudah mempersiapkan diri untuk persembahan ini dengan melakukan latihan yang diperlukan.
“Saya juga mahu lakukan yang terbaik kerana kali terakhir saya buat persembahan di lokasi ini (Persada Johor) adalah pada 10 tahun lalu. Walaupun namanya persembahan eksklusif tetapi saya mahu penonton merasakan ia seolah-olah satu konsert,” jelasnya.
Dalam pada itu, persembahan eksklusif ‘A Night To Remember’ tersebut akan turut menampilkan artis jemputan popular lain iaitu Aina Abdul dan Khai Bahar.
Orang ramai yang mahu menyaksikan persembahan itu boleh mendapatkan tiket secara atas talian di laman web www.myticket.asia. –UTUSAN










