Siti Bainun masuk wad kerana hidap pneumonia - Utusan Malaysia

Siti Bainun masuk wad kerana hidap pneumonia

NUR'AMINAHTUL Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun Ahd Razali ketika hadir pada hari pertama perbicaraan bela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Siti Bainun Ahd Razali yang sepatutnya mula membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan sindrom Down, Bella, dimasukkan ke hospital minggu lalu kerana menghidap pneumonia dan dijadual menjalani pembedahan endoskopik.

Pengasas Rumah Bonda itu dijadual memberi keterangan bela diri di Mahkamah Sesyen di sini pada hari pertama perbicaraan sehingga 9 Disember ini.

Terdahulu, peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor ketika memohon penangguhan perbicaraan memaklumkan, Siti Bainun, 31, dimasukkan ke wad sejak 28 November lalu kerana menghidap pneumonia.

Sementara itu, Hakim Izralizam Sanusi memohon penjelasan berhubung keadaan kesihatan Siti Bainun kerana surat yang dikemukakan kepada mahkamah menyatakan tertuduh sepatutnya menjalani pembedahan Sabtu lalu.

Menurut Nur’Aminahtul, pembedahan endoskopik pada 3 Disember belum dapat dilaksanakan kerana anak guamnya masih di bawah pengaruh antibiotik manakala pembedahan hempedu hanya boleh dilakukan selepas lima hari pembedahan pertama selesai.

Sementara itu, Nur’Aminahtul turut memberitahu wakil media, Siti Bainun mengambil masa selama enam minggu untuk pulih daripada pembedahan.

Keputusan permohonan itu akan diumumkan petang ini kerana mahkamah perlu meneliti dokumen tambahan termasuk surat cuti sakit daripada pihak hospital.

Pada prosiding itu, pasukan pembelaan turut memohon penangguhan atas alasan pihaknya telah memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi pada 25 November bagi mengkaji kedua-dua pertuduhan terhadap Siti Bainun.

Peguam bela memohon perbicaraan ditangguhkan sehingga permohonan semakan didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau berhujah, permohonan itu adalah berkaitan pertuduhan dan sebarang dapatan oleh Mahkamah Tinggi akan memberi implikasi kepada keseluruhan perbicaraan.

“Dapatan Mahkamah Tinggi akan memberi implikasi sama ada perbicaraan diteruskan atau sebaliknya atau sama ada terdapat perubahan pada pertuduhan atau apa-apa arahan yang sesuai,” jelas peguam.

Nur’Aminahtul turut memohon pertimbangan penangguhan bagi membolehkan pihaknya menyediakan pembelaan termasuk penyediaan saksi-saksi luar negara.

Menurutnya, salah seorang saksi melibatkan pakar dari London, United Kingdom manakala salah seorang saksi lagi sedang meneliti dokumen untuk penyediaan pernyataan saksi.

“Siti Bainun juga perlu menyediakan pernyataan saksinya dan ia tidak dapat dilakukan kerana anak guam dimasukkan ke wad pada 28 November lalu.

“Oleh itu kami memohon penangguhan atas tiga isu iaitu kesihatan tertuduh, proses temu bual saksi-saksi dan penyediaan pernyataan saksi-saksi pakar,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad membantah permohonan penangguhan atas alasan ia bersifat remeh, mengaibkan, menyusahkan dan bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan kes.

Permohonan penangguhan itu bagaimanapun ditolak oleh mahkamah.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya