Singkir atau kekal ahli PBM: Nasib Zuraida akan ditentukan

Singkir atau kekal ahli PBM: Nasib Zuraida akan ditentukan

LARRY Sng Wei Shien telah hantar surat tunjuk sebab Isnin lalu kepada Zuraida Kamaruddin dan mereka yang lain yang masih digantung keahlian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bakal Pre­siden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kama­ruddin dan beberapa pemimpin tertinggi parti yang masih digantung keahlian akan menge­tahui nasib mereka sama ada disingkirkan serta-merta atau sebaliknya.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Presidennya, Datuk Lar­ry Sng Wei Shien berkata, ke­semua mereka mempunyai masa tujuh hari sehingga Isnin ini untuk membalas surat tunjuk sebab dihantarnya Isnin lalu.

Ini berikutan Zuraida juga bekas Ahli Parlimen Ampang dan beberapa pemimpin parti lain tidak hadir ke mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi yang diadakan pada minggu lalu.

“Saya telah hantar surat tunjuk sebab Isnin lalu pada Zuraida dan mereka yang lain yang masih digantung keahlian.

“Jika mereka gagal untuk membalas surat saya hantar secara bertulis dalam masa se­minggu ini, mereka akan di­singkirkan daripada parti.

“Jika mereka menjawabnya sebelum tarikh akhir, saya te­lah mengarahkan jawatankuasa tatatertib untuk menyelesaikan status keahlian mereka,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Ahli Parlimen Julau itu ber­kata, semasa mesyuarat itu, beliau telah mengembalikan jawatan dua ahli jawatankuasa pusat iaitu Datuk Chua Liam Chye dan Mira Muniraa Abu Bakar yang sebelum ini digantung tugas sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada 29 Oktober lalu, Wei Shien ketika itu mendakwa masih Presiden parti yang sah menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi kerana pembabitan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepemimpinannya.

Selain Zuraida, Lyam Chye dan Mira Muniraa, beberapa yang lain digantung tugas ialah Haniza Mohamad Taha, Dr. Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr. G. Sathiskumar, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Sebelum itu, Wei Shien menggantung Setiausaha Agung­nya, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid yang merupakan sekutu Zuraida.

PBM sebelum ini dilaporkan telah meluluskan usul untuk melantik Zuraida sebagai Presiden baharu, namun belum ada kenyataan rasmi sehingga diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Wei Shien pada Jun lalu me­lantik Zuraida sebagai presiden pengganti dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi parti.

Ditanya sama ada beliau akan memenuhi janjinya menyerahkan jawatan itu, kata Wei Shien: “Biar jawatankuasa tatatertib tentukan nasib dan keahlian Zuraida.”

Pada PRU15, PBM hanya menang satu kerusi di Parlimen Julau dan tewas di empat kawasan lain di Ampang, Hulu Selangor, Kapar dan Labuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×