TANAH MERAH: PKR Tanah Merah menuntut pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan wujudnya unsur sogokan bagi meraih undi di kawasan Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Ketua Cabang PKR kawasan itu, Wan Ibrahim Wan Yusoff berkata, siasatan tersebut perlu dilakukan memandangkan isu berkenaan tular dalam laman sosial Facebook, aplikasi WhatsApp dan Tiktok.
Dakwanya, video berkenaan jelas menunjukkan berlakunya agihan duit pengundi luar di dua kawasan iaitu di pejabat Pas Kampung Bukit Tebu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau dan Pejabat Pas Kampung Terasil (DUN Gual Ipoh).
“Pada 19 November lalu, lebih kurang pukul 11 pagi, dikhabarkan berlaku agihan wang oleh parti Pas kepada pengundi mereka dan disebut sebagai pengundi luar.
“Selain itu, di dalam video dan gambar berkenaan terdapat sekumpulan petugas yang memakai baju berwarna hijau yang bertulis sukarelawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis bersama kira-kira 30 ahli di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Ibrahim berkata, siasatan juga perlu dilakukan terhadap peranan pihak berkuasa yang berada di tempat kejadian dan siapa yang mengarahkannya.
“Apakah himpunan berkenaan mendapat permit atau dimaklumkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu bahawa ada pihak yang berkumpul pada hari tersebut?
“Malah, ternyata himpunan itu adalah tidak aman kerana terdapat pihak berkuasa yang dilengkapi dengan peralatan antirusuhan,” ujarnya.
Katanya, siasatan segera itu bagi mengelak kejadian sama berulang pada pilihan raya negeri (PRN) tahun depan.
“Kita bukan mahu menuduh tetapi kita mahu siasatan dilakukan. Ini kerana sekiranya tiada siasatan serta tindakan dibuat, saya yakin perkara seumpama ini berlaku lagi,” katanya. – UTUSAN