Siapa audit sumbangan RM150 juta ke Palestin

Siapa audit sumbangan RM150 juta ke Palestin

Penderitaan rakyat Palestin akibat kezaliman rejim Zionis mendapat simpati rakyat negara ini yang aktif hulurkan bantuan namun sumbangan tersebut wajar diaudit bagi memastikan ia sampai kepada golongan sepatutnya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin di negara ini bukan sahaja perlu diaudit tetapi tidak boleh sembrono mengagihkan bantuan ke negara itu memandangkan nilai kutipan dana rakyat Malaysia dianggarkan melebihi RM150 juta setahun.

Hal ini kerana wujud NGO menyalurkan sumbangan ratusan jutaan itu bukan untuk tujuan keperluan mangsa kezaliman tentera Israel, sedangkan mereka terkesan dan amat memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seperti projek ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, tidak dinafikan terdapat sumbangan itu sampai ke tangan mangsa peperangan, namun sumbangan disalurkan untuk tujuan tidak sepatutnya dan tidak diperlukan oleh mereka yang terkesan.

Beliau memberi contoh, terdapat satu projek sumbangan membaik pulih masjid sedangkan usaha membina semula rumah terjejas teruk akibat serangan tentera Israel perlu menjadi keutamaan sekali gus menyebabkan dana sumbangan jutaan ringgit rugi begitu sahaja.

“Jadi NGO Malaysia perlu fokus dalam soal ini dan mempunyai koordinasi dengan pihak berkuasa di Palestin untuk bertanyakan tentang keperluan mereka berbanding kita memberi bantuan kepada saluran yang tidak sepatutnya.

“Kita tahu rakyat Malaysia amat bermurah hati menyalurkan sumbangan khususnya ketika serangan berlaku, jadi tidak mustahil angka sumbangan mencecah ratusan juta seperti direkodkan pada 2021 iaitu dianggarkan berjumlah RM150 juta,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut Muhammad Nadir Al-Nuri, perkara sama berlaku membabitkan sebuah NGO apabila bertindak menyalurkan sumbangan kepada saluran untuk tujuan tidak sepatutnya sehingga mencetuskan kontroversi seperti sebelum ini.

Ujarnya, jika sikap itu berterusan sedikit sebanyak menghakis kepercayaan bukan sahaja dalam kalangan para penderma tetapi juga mangsa kekejaman pihak berkuasa Israel yang selama ini memandang tinggi kepada sikap pemurah rakyat Malaysia.

Justeru itu, Muhammad Nadir Al-Nuri melihat sudah tiba masanya untuk mewujudkan satu audit menyeluruh terhadap NGO Palestin di Malaysia bagi memastikan sama ada bantuan itu benar-benar disalurkan atau sebaliknya.

Menurutnya, tidak dinafikan terdapat pertubuhan berbuat demikian namun ia membabitkan peringkat dalaman untuk tujuan serahan laporan kepada Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan masih tidak mencukupi.

“Audit ini perlu dilakukan secara dalaman dan luaran serta didedahkan kepada umum termasuk para penderma dengan menjelaskan ke mana dana sumbangan disalurkan bagi mencetuskan keyakinan di samping melihat dana disalurkan kepada tempat sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nadir Al-Nuri mengakui negara-negara Barat lebih ke hadapan dalam konteks perjuangan rakyat Palestin berbanding negara Islam apabila sanggup memboikot produk barangan buatan Israel.

Jelasnya, malah kesedaran pemimpin negara Barat amat tinggi kerana mereka memperjuangkan Palestin bukan atas dasar emosi, tetapi berdasarkan ilmu dan kefahaman.

“Tidak dinafikan ada negara-negara Islam bangkit mempertahankan Palestin, tetapi hanya melibatkan rakyatnya manakala pemimpin pula masih menyebelahi Israel.

“Oleh sebab itu, ada negara bukan Islam menarik keputusan membuka kedutaan Israel di Palestin dan mengecam serangan berterusan terhadap rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×