BAGAN SERAI: Hampir 1,000 peserta menyertai acara Kayuhan Shimano Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) Jamboree 2022 sejauh 58 kilometer di BMLR di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya berkata, peserta yang menyertai acara Jamboree datang dari seluruh negara.
Menurutnya, acara yang diadakan itu merupakan antara usaha yang dijalankan sebagai daya tarikan BMLR sebagai destinasi pelancongan yang unggul dan terus berdaya saing.
“Sambutan peserta yang menyertai acara ini amat menggalakkan dan kami bercadang untuk menyediakan lagi pelbagai program dan acara yang menarik pada masa akan datang agar pelancong domestik dan antarabangsa tertarik untuk berkunjung ke sini,” katanya ketika pelepasan peserta yang menyertai acara tersebut hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan Yang DiPertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Yusop@Jusoh.
Menurut Faris, laluan sejauh 58 kilometer perlumbaan itu meliputi 40 peratus laluan jalanraya dan selebihnya melalui ‘off road’ termasuk terdapat laluan mendaki yang memberikan cabaran serta menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.
Beliau berkata, sebanyak sembilan kategori dipertandingkan yang menyediakan hadiah berupa wang tunai, plak dan jersi.
“Antaranya kategori lelaki terbuka dan wanita terbuka, kategori lasak, terbuka Fatbike dan beberapa kategori lagi, “katanya.
Menurutnya, BMLR turut menyediakan pelbagai pakej menarik bagi musim cuti sekolah untuk keluarga berkunjung ke taman tema itu. – UTUSAN










