Selimut, khemah dipercayai milik mangsa tanah runtuh ditemukan

Selimut, khemah dipercayai milik mangsa tanah runtuh ditemukan

JABATAN Ukur dan Pemetaan membawa masuk alat Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar penembusan tanah ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa yang memasuki hari kelima di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan FoF, Batang Kali, Hulu Selangor, hari ini. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan lagi mangsa tanah runtuh di Sektor C (Riverside) di Father’s Organic Farm (FoF) hari ini berjaya menemukan peralatan berkemah dipercayai milik mangsa.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, peralatan seperti khemah, selimut dan tong berkenaan ditemukan pasukan penyelamat sekitar tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Wan Md. Razali berkata, tiada mangsa ditemukan di lokasi berkenaan sehingga pukul 6 petang tadi.

“Pada tengah hari tadi kita ada jumpa petanda-petanda yang memberi kita semangat untuk mencari, contohnya kita jumpa tong, bekas-bekas khemah.

“Jadi kita buat pengalian di situ (Sektor C) dengan lebih terperinci cuma hasilnya negatif dan tidak menemukan apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media perkembangan terkini operasi SAR mangsa tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands di sini, petang tadi.

Ditanya mengenai suasana operasi SAR berkenaan, Wan Md. Razali berkata, kerja mencari mangsa masih lagi diteruskan memandangkan cuaca pada hari ini cukup baik dan memudahkan pasukan penyelamat meneruskan operasi berkenaan.

“Cuaca cukup membantu SAR yang dijalankan di mana kita memberi tumpuan kepada kerja pencarian menggunakan jentera berat (jengkaut).

“Cuma aliran air bergerak dari atas ke Riverside memberi sedikit cabaran kepada kita kerana ia menyebabkan tanah lembik dan berair,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata,  kerja-kerja mencari mangsa yang hilang di Sektor C akan diteruskan sehingga malam.

“Fokus pencarian masih di Sektor C, Riverview dan pasukan penyelamat telah berusaha bersungguh-sungguh tetapi tiada satu perkembangan positif,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.

Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan lagi masih hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya