Sanusi, berdamailah dengan takdir – BN Kedah

Sanusi, berdamailah dengan takdir – BN Kedah

SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan supaya berhenti mengecam keabsahan pembentukan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan parti lain.

Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Muhammad Sanusi serta Ahli Parlimen Pas dan PN Kedah perlu belajar berdamai dengan takdir Allah yang Pas tidak dapat membentuk kerajaan selain menginsafi ada pengajaran di sebaliknya. 

“Janganlah dibawa resmi jagung, yang semakin berisi semakin tegak itu. Saya harapkan Sanusi bersihkan halaman sendiri dulu, baru bersihkan halaman orang. Bersihkan dulu hati pemimpin PN terutama Pas yang tidak sudah-sudah meratib DAP dan Islamophobia. 

“Alangkah baiknya, barisan Ahli Parlimen Pas dan Perikatan Nasional di Kedah ini menjalankan tugas yang dipertanggungjawab. Adakah sudah cukup usaha bangunkan Kedah ini dijalankan? Jangan dilupa pembangunan projek mega yang tertangguh, pelaburan jutaan ringgit dan usaha pengupayaan hak sosio-ekonomi rakyat Kedah. Jangan janji hanya tinggal janji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas ucapan Muhammad Sanusi ketika berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai yang mendakwa kerajaan dibentuk ketika ini disifatkan seolah-olah kerajaan luar tabii.

Shaiful Hazizy berkata, Menteri Besar tidak seharusnya terlupa bahawa pembentukan barisan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan untuk mendapat perkenan Ketua Negara Malaysia. Ini sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan setelah sekian lama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Taufiq Johari berkata, tindakan mencerca Kerajaan Persekutuan yang baharu dibentuk sebagai kerajaan luar tabii mencemar kewibawaan sebagai seorang Menteri Besar. 

“Beliau lupa bahawa beliau sendiri bertindak di luar tabii demokrasi, membelakangkan semangat Undang-undang Tubuh Negeri Kedah dan mengkhianati mandat rakyat dengan menubuhkan kerajaan khianat PN Kedah.

“Ibarat ayam berkokok, ekor bergelumang tahi, Sanusi harus sedar bahawa rakyat tidak akan sesekali melupakan bahawa PN didirikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli-ahli Parlimen yang bertindak di luar tabii demokrasi dengan mengkhianati mandat mereka di PRU14,” katanya.

Tambahan pula kata beliau, kempen PN sewaktu PRU15 yang berteraskan cercaan dan fitnah yang jijik juga menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

“PRU15 berakhir. Kerajaan Persekutuan dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Cercaan ‘kerajaan luar tabii’ itu menyinggung kuasa melantik Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan seperti yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan kepada Ketua Utama Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.