Sambutan luar biasa orang Tambun terhadap Anwar

Sambutan luar biasa orang Tambun terhadap Anwar

Anwar Ibrahim menerima sambutan yang begitu menggalakkan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh di Taman Jati, Meru, Ipoh, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AURA Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup hebat apabila ribuan rakyat Tambun menyambut ‘kepulangan pertama’ beliau pada Jumaat lalu selepas dilantik Perdana Menteri Ke-10.

Baik Melayu, Cina mahu pun India, mereka berkumpul menyambut Anwar semasa program tinjauan mesra Perdana Menteri di pasar Tanjung Rambutan di Ipoh baru-baru ini.

Malah pengawal peribadi dan pasukan keselamatan terpaksa bekerja keras untuk mengiringi Anwar akibat keadaan berasak-asak apabila Anwar diserbu rakyat yang sudah lama menunggu untuk berjumpa beliau.

Laungan ‘reformasi’ mengiringi sesi tinjauan mesra Perdana Menteri yang meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama rakyat di Pasar Tanjung Rambutan.

Suasana itu berterusan selepas Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh di Taman Jati, Meru apabila ribuan jemaah mengambil kesempatan bertemu Perdana Menteri sebelum beliau menyertai kenduri rakyat di masjid tersebut.

Program itu bagi menzahirkan penghargaan kepada pengundi dan penyokongnya selepas menang Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebagai penghargaan kepada rakyat Tambun dan negeri, Anwar berkata, Tambun dan Perak merupakan pangkalan penting buat beliau untuk memacu ekonomi yang lebih segar kepada negeri ini.

Malah katanya, beliau sepatutnya tiada sebarang program pada hari tersebut kerana mahu membuat pengumuman pelantikan barisan Kabinet pada lewat petang.

“Dalam keadaan biasa, kalau nak umum Kabinet sepatutnya saya tak ada program tapi saya tak boleh ketepikan panggilan Tambun dan orang Perak, yang pengumuman itu, kemudian,” katanya.

Anwar mengajak semua pihak termasuk pembangkang supaya menumpukan perhatian kepada agenda pembangunan negara setelah selesai PRU15 selain berharap beliau dapat menjadi Perdana Menteri sehingga habis penggal.

“Sekarang giliran saya, bulan lalu giliran orang lain, tahun lalu orang lain, dua tahun lalu orang lain, tiga empat tahun lalu orang lain, doakan ‘orang ini’ kekal sepenuh penggal untuk pastikan negara terus maju dengan saya akan memberi tumpuan kepada membangunkan semula ekonomi,” katanya berucap dalam majlis kenduri rakyat.

Selain beliau yang mewakili kerusi Parlimen dari negeri ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga dari Perak selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk

Anwar turut melantik empat lagi menteri dari Perak iaitu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang dilantik sebagai Menteri Luar dan Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.

V. Sivakumar selaku Ahli Parlimen Batu Gajah dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dilantik sebagai Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi.

Perdana Menteri dan timbalannya serta empat menteri dari Perak dalam anggota Kabinetv dilihat mampu menarik pelabur sekali gus membawa kemajuan pada negeri Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN