Sabah tidak pernah hapuskan tuntutan hasil 40 peratus

Sabah tidak pernah hapuskan tuntutan hasil 40 peratus

HAJIJI Noor (kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (kiri) semasa persidangan DUN Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak pernah menghapuskan tuntutan hasil 40 peratus yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perwartaan yang dipersetujui dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini adalah bagi pembayaran pemberian khas kepada Sabah dan bukannya untuk menghapuskan tuntutan 40 peratus.

Beliau berkata, pemberian khas kepada Sabah itu membabitkan pembayaran selama tempoh lima tahun bermula tahun ini sehingga tahun 2026.

“Saya sebagai Ketua Menteri duduk dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan pewartaan ini bukan untuk menghapuskan tuntutan 40 peratus yang kita tuntut selama ini.

“Dalam mesyuarat tersebut, saya menjelaskan tuntutan 40 peratus tiada kaitan dengan bayaran yang telah diwartakan.

“Malah, kita mengeluarkan kenyataan bersama dengan Perdana Menteri pada 14 April lalu bahawa tuntutan 40 peratus yang dituntut selama ini tiada kaitan dengan pemberian khas.

“Malah, semasa kerajaan Warisan juga telah membuat persetujuan pada Oktober 2019 dan tuntutan itu jauh lebih rendah berbanding apa yang dibayar sekarang.

“Seperti saranan ADUN Moyog, kita akan teruskan apa yang diputuskan dalam mesyuarat MKMA63,” katanya semasa ucapan penggulungan Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab persoalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Darell Leiking dan ADUN Tungku, Assafal P.Alian mengenai tuntutan hasil 40 peratus.

Hajiji, yang juga Menteri Kewangan negeri itu berkata, semasa pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, isu tuntutan hasil 40 peratus tersebut turut dibangkitkan dan Perdana Menteri memberi jaminan untuk terus mempertimbangkan perkara itu secara serius.

Menurut beliau, diharap perkara itu dapat direalisasikan dan beliau akan membawa perkara ini sekali lagi kerana masalah ini telah diutarakan sejak sekian lama oleh seluruh pimpinan dan rakyat Sabah.

Beliau memberi jaminan tuntutan hasil 40 peratus itu tidak akan terganggu kerana pewartaan itu hanya berkaitan dengan pemberian khas yang dibayar kepada Sabah.

Jelas beliau, sekiranya pewartaan pemberian khas itu dibatalkan maka, kerajaan negeri tidak dapat melaksanakan projek pembangunan seperti rumah mesra rakyat Sabah Maju Jaya (SMJ) sebanyak 1,500 buah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya